Pukul & Denda Anak ‘Jalan Itik’ Selama 4 Jam, Bapa Dihukum Penjara 8 Bulan
Tertuduh turut meminta hukuman dikurangkan kerana mahukan peluang kedua untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seorang bapa yang bertindak memaksa anaknya berjalan itik selama empat jam tanpa henti sambil dipukul menggunakan jaring yang diikat pada raket badminton dihukum penjara selama lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada hari ini (10 Jun).
Tertuduh yang berusia 35 tahun dijatuhi hukuman oleh Hakim, Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan iaitu menganiaya dua anak kandungnya.
Jalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap
Hakim turut mengarahkan tertuduh untuk menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 1 Jun lepas serta hukuman untuk setiap pertuduhan dijalankan secara serentak.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menganiaya anak lelakinya yang berusia 13 tahun dan seorang lagi anak perempuannya (15 tahun) hingga menyebabkan berlaku kecederaan fizikal mahupun emosi.
Memetik laporan Berita Harian, kesemua kesalahan tersebut didakwa dibuat di sebuah rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepong Utara, Selangor sekitar jam 9 malam pada 30 Mei lalu sehingga 1 Jun.
Untuk pertuduhan, bapa tersebut telah didakwa di bawah Seksyen 31(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 dan penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.
Merayu hukuman ringan kerana tertuduh menanggung keluarga
Terdahulu sebelum mahkamah bertindak menjatuhkan hukuman, lelaki yang juga bapa kepada lima orang anak itu telah merayu hukuman ringan memandangkan hanya dia seorang yang menanggung keluarga. Malah dia turut mengakui insaf atas perbuatannya.
“Saya mempunyai tiga lagi anak yang masih kecil dan saya penanggung tunggal keluarga. Saya juga mempunyai penyakit kronik iaitu kencing manis, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.
“Mohon mahkamah mengurangkan hukuman saya kerana saya mahukan peluang kedua untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil,” ujarnya.
Hakim kemudian bertanya kepada lelaki berkenaan apakah punca dia melakukan tindakan tersebut terhadap dua anak kandungnya.
Tertuduh: Sebab saya tengok kelakuan mereka dengan adik-adik lain pelik sikit.
Hakim: Jadi, apa tujuan kamu pukul mereka? Kamu pukul untuk mengajar lah?
Tertuduh: Ya… Tapi saya tak sangka situasi boleh menjadi seteruk ini.
Timbalan Pendakwa Raya minta hukuman setimpal untuk pengajaran
Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latip kemudiannya meminta agar hukuman yang setimpan diberikan terhadap lelaki berkenaan untuk pengajaran kepada tertuduh serta orang ramai agar tidak melakukan kesalahan itu.
Mengikut kertas pertuduhan, anak lelakinya telah dipukul dengan sengaja oleh tertuduh di kedua-dua kaki remaja berusia 13 tahun menggunakan jaring yang dipasang di sebatang raket badminton lebih kurang jam 9 malam hingga 12 malam pada 30 Mei lalu.
Tidak hanya itu, tertuduh juga bertindak melempang wajah serta memukul di bahagian badan remaja terbabit pada tarikh dan waktu sama.
Pada 31 Mei pula, lebih kurang jam 3 hingga 5 petang anak perempuan berusia 15 tahun juga telah dipukul tertuduh menggunakan jaring raket badminton di bahagian muka.
Kesalahan yang dilakukan menyebabkan dua remaja alami kecederaan
Kedua-dua kesalahan dilakukan oleh tertuduh telah menyebabkan berlaku kecederaan pada dua anak tersebut seperti yang dimaklumkan dalam laporan awal perubatan.
Lelaki itu turut menyuruh dua remaja berkenaan berjalan itik dalam rumah untuk tempoh yang lama sehingga ia berkemungkinan boleh menyebabkan kecederaan emosi mahupun fizikal kepada mereka.
Perkara itu dilakukan antara jam 1 pagi hingga 5 pagi pada 1 Jun lepas.