Tak Tarik Brek Tangan Dengan Kemas, Punca Kereta Mengundur & Kemalangan Dengan 2 Motosikal [Video]
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zain lelaki yang memandu kereta berwarna putih tidak menarik brek tangan dengan kemas punca kenderaan mengundur keluar.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sudah menjadi kewajipan untuk setiap pemandu untuk memastikan kereta berada dalam keadaan selamat apabila berhenti di sesuatu tempat.
Antara perkara yang perlu dilakukan adalah memastikan gear dialih ke bahagian P, atau N atau ‘free gear’ untuk kereta manual, serta menarik brek tangan dengan sempurna.
Perkara ini, untuk memastikan kenderaan tidak bergerak dengan sendirinya khususnya jika berada di kawasan jalan yang berbukit.
Kereta mengundur dengan sendiri
Baru-baru ini, tular satu video memaparkan sebuah kereta yang dipercayai telah mengundur dengan sendirinya ketika di parkir di sebuah pusat servis kereta Perodua di Balakong, Selangor.
Menerusi video kamera litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan, awalnya kelihatan kenderaan yang berwarna putih dipercayai jenis Perodua Ativa telah masuk ke kawasan pusat servis kereta berkenaan.
Kereta mengundur dari pusat servis tanpa pemandu sehingga kemalangan membabitkan 2 motosikal
Sebaik sahaja kereta itu diberhentikan di dalam kawasan berkenaan, selang beberapa saat kelihatan kereta tersebut telah mengundur dengan sendirinya tanpa pemandu dan pintu yang masih terbuka.
Ekoran daripada itu, kereta tersebut telah keluar daripada pusat servis berkenaan sehingga ke jalan besar dan menyebabkan kemalangan membabitkan dua buah motosikal yang tidak sempat berhenti.
Kecuaian yg tak boleh dibincang.. balakong perodua, ingat staf perodua nak terkencing sangat tu, lari tinggal kereta .. pic.twitter.com/sIDkzPhVzf
— #UpdateInfo🇲🇾🌍 (@update11111) June 8, 2024
Polis maklumkan pemandu tak tarik brek tangan dengan kemas
Terbaharu, polis memaklumkan kejadian membabitkan dua motosikal itu kerana kereta Ativa itu tidak menarik brek tangan (Handbrake) dengan kemas.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Mohd Zain Hassan, insiden tersebut berlaku sekitar jam 8.20 pagi pada 7 Jun di Lebuhraya Kajang Silk, Selangor.
“Siasatan polis mendapati semasa kejadian pemandu kereta yang merupakan seorang lelaki telah meletakkan kenderaan di hadapan pejabat Perodua Balakong tidak menarik brek tangan dengan kemas menyebabkan kenderaan mengundur keluar sehingga ke jalan utama,” katanya.
Penunggang motosikal alami kecederaan
Perkara itu telah menyebabkan dua penunggang motosikal telah melanggar bahagian kiri kereta tersebut.
Ekoran daripada insiden itu penunggang motosikal telah mengalami kecederaan, manakala pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat di bawah Rule 14 LN 166/59.”