fbpx
Now Reading
Kenapa Harga Minyak Tidak Turun? Ini Jawapan Rafizi

Kenapa Harga Minyak Tidak Turun? Ini Jawapan Rafizi

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi memberi penjelasan berhubung harga minyak ketika sedang menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap pada Ahad (9 Jun) yang lalu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada Ahad (9 Jun) yang lalu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga runcit bahan api diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 bermula 10 Jun.

Manakala, harga diesel di kawasan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada kadar RM2.15 buat sementara ini.

Pengumuman ini sudah semestinya menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Ada yang dapat menerima namun ada juga yang mempersoalkan kenaikan ini.

Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Di Semenanjung RM3.35 Seliter Bermula Isnin, 10 Jun

Kerajaan Tidak Batal Subsidi, Subsidi Diberi Terus Kepada Rakyat

Terbaharu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan kerajaan tidak pernah membatalkan subsidi bahan api termasuk diesel yang mencecah RM60 bilion setahun. Sebaliknya, ia dialih dan diagihkan terus kepada rakyat.

Beliau menjawab sedemikian selepas seorang individu membangkitkan soalan ‘Mengapa harga minyak tidak turun?’ ketika beliau sedang menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap pada Ahad (9 Jun) yang lalu.

Jelas beliau, kerajaan sebelum ini membayar subsidi terbabit kepada beberapa syarikat minyak.

Namun, tindakan kerajaan pada kali ini berbeza apabila terus mengagihkannya termasuk kepada keluarga dengan jumlah serendah RM200 hingga RM500 sebulan.

“Sekarang subsidi RM60 bilion harga minyak mentah AS$80 (setong) saya sebut dulu, kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi itu masih lagi boleh ditangguh, kenapa nak hapuskan subsidi?

“Bila subsidi sudah jadi RM80 bilion, nak buat sekolah tak boleh, nak naik gaji tak boleh dan subsidi menyebabkan harga (minyak) yang rendah itu, yang dapatnya orang kaya-kaya, bukankah lebih baik kita alihkan subsidi itu bukanlah kita batalkan.

“Alih subsidi maksudnya subsidi terus diberi. Diesel kenderaan awam, lori kecil, pikap, peniaga semua dapat, malah orang biasa gaji RM100,000 ke bawah setahun pun dapat atau kita agihkan kepada keluarga biar dapat subsidi minyak tiap-tiap bulan RM200, RM300, RM400 (atau) RM500,” katanya.

Yakin Rakyat Akan Dapat Lihat Dengan Lebih Baik

Malah, beliau yang merupakan Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yakin rakyat Malaysia akan dapat melihat dengan lebih baik selepas peruntukan subsidi diagihkan terus kepada isi rumah berbanding terus dibayar ke syarikat minyak.

“Zaman minyak dulu yang harga RM1.90 tahu tak berapa harga minyak mentah masa itu? Tahu tak berapa subsidi yang kerajaan kena belanjakan? Sikit saja, masa itu subsidi kena belanja RM3 bilion daripada bajet RM200 bilion lebih.

“Daripada orang kata minyak murah, tapi sebenarnya RM60 bilion pergi kepada syarikat-syarikat minyak dalam keadaan negara sudah tak mampu untuk tanggung subsidi macam itu. Dulu RM3 bilion, sekarang RM60 bilion,” katanya.

Rafizi sebelum ini pernah dlaporkan berkata, kerajaan dijangka akan menanggung subsidi sebanyak RM100 bilion setahun sekiranya harga minyak mentah dunia mencecah AS$100 setong melainkan reformasi dibuat terhadap sistem subsidi.

Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Di Semenanjung RM3.35 Seliter Bermula Isnin, 10 Jun

Baca Artikel Berkaitan: Kabinet Setuju Laksana Penyasaran Subsidi Bahan Api Diesel – PMX

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.