fbpx
Now Reading
Pelajar Tingkatan 5 & Kanak-kanak 2 Tahun Maut Keracunan Makanan Disediakan Program Sekolah

Pelajar Tingkatan 5 & Kanak-kanak 2 Tahun Maut Keracunan Makanan Disediakan Program Sekolah

Pengarah JAIS turut mengesahkan menerima laporan berhubung kes keracunan makanan itu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak semalam (10 Jun), media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut dipercayai selepas memakan tiga biji telur daripada satu program di sebuah sekolah di Gombak, Selangor pada Sabtu lalu (8 Jun).

Tidak lama selepas itu, seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia dua tahun pula dilaporkan meninggal dunia dipercayai akibat keracunan makanan yang disediakan di tempat yang sama.

Polis sahkan terima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga kedua-dua mangsa berhubung kejadian itu semalam.

“Mangsa pertama berusia 17 tahun memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya daripada satu program di sebuah sekolah di sini. Mangsa serta ibu dan bapanya mengalami cirit birit selepas memakan makanan itu kelmarin.

“Jam 1.30 petang semalam mangsa mula tidak sedarkan diri lalu bapanya menghubungi talian kecemasan MERS 999 dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini (11 Jun).

Mangsa kedua anak kepada pengawal keselamatan

Menurutnya, mangsa kedua pula adalah anak kepada pengawal keselamatan yang bertugas di sekolah berkenaan.

“Jam 10.45 semalam, mangsa mengalami demam, muntah-muntah dan cirit birit lalu dibawa ke Hospital Selayang oleh ibunya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Selayang bagi tindakan lanjut,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Khalpna Rajandhiran di talian 01250118901 atau Ketua Balai Gombak, Inspektor Heirme Che Mad (0142389151).

JAIS sahkan terima laporan berhubung kejadian

Dalam pada itu, memetik Buletin TV3, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, beliau mengesahkan menerima laporan berhubung kes keracunan makanan itu.

Ujar Mohd Shahzihan, sekolah rendah agama di Sungai Cincin terbabit menjadi tuan rumah dalam penganjuran program amal Islami.

KKM jalankan siasatan

Dalam perkembangan sama, Timbalan Menteri Kesihatan (KKM), Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pihaknya sedang menyiasat insiden tersebut.

“Kes ini akan dijawab oleh (pihak) kesihatan awam dan pihak ibu pejabat (KKM) akan mengeluarkan kenyataan.

“Perkara itu masih dalam semakan dan siasatan,” katanya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.