
Pengusaha Bas Sekolah, Bas Ekspres & Bas Persiaran Tiada Sebab Untuk Naikkan Kadar Tambang, Kata Anthony Loke
Jelas Menteri Pengangkutan itu, pengusaha bagi ketiga-tiga bas tersebut tidak terkesan dengan kenaikan berkenaan kerana mereka telah diberi subsidi diesel.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Penetapan harga diesel pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia yang berkuatkuasa mulai Isnin (10 Jun) masih lagi hangat diperkatakan sehingga kini.
Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Ahad (9 Jun) lalu nyata mengejutkan ramai pihak.
Kenaikan ini menyebabkan ada pihak yang risau sekiranya harga diesel yang baharu itu akan menyebabkan kenaikan harga perkara yang lain antaranya seperti barang dan perkhidmatan atau tambang bas.
Baca Artikel Berkaitan: Penyasaran Subsidi Diesel Tidak Akan Meningkatkan Harga Barangan Berlipat Ganda – Penganalisis Ekonomi
Pengusaha Bas Tidak Terkesan Dengan Kenaikan Harga Diesel
Terbaharu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menjelaskan pengusaha bas sekolah, bas ekspres dan bas persiaran tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang ekoran pengumuman penetapan harga baharu diesel baru-baru ini.
Jelas Anthony, pengusaha bagi ketiga-tiga bas tersebut tidak terkesan dengan kenaikan berkenaan kerana mereka telah diberi subsidi diesel.
“Kenaikan kadar tambang tak sepatutnya berlaku, subsidi diesel ini terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah. Mereka tidak terkesan susulan daripada kenaikan harga diesel.
“Ini kerana, mereka sudah menerima subsidi dan tidak ada perubahan dari segi itu kerana mereka diberikan kad fleet dan harga Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 iaitu pengusaha bas ekspres dan sekolah kekal pada harga RM1.88 seliter.
“Jadi apa yang mendorong mereka nak naikkan harga? Jika soal ini digunakan sebagai alasan untuk menaikkan harga tambang bas sekolah atau bas ekspres, itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

Pengusaha Bas Ekspres Tidak Boleh Naikkan Tambang Sesuka Hati
Tambah beliau lagi, pengusaha bas ekspres tidak boleh menaikkan kadar tambang sesuka hati kerana ia berada di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Bagi bas sekolah pula, kita tidak kawal harganya, cuma kita galakkan perbincangan antara pengusaha bas sekolah dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
“Sementara itu, bagi bas persiaran, ia adalah untuk kegunaan pelancongan iaitu bagi pelancong asing, bukan untuk kegunaan harian, jadi tidak ada subsidi untuk sektor pelancongan.
“Kos pelancongan di negara kita memang cukup kompetitif, mungkin ada sedikit kenaikan kos untuk pelancong asing namun saya rasa ia boleh diterima untuk pelancong asing,” katanya.

Sebelum ini, terdapat ura-ura yang mengatakan kemungkinan akan berlakunya kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran selepas pengumuman berhubung kenaikan diesel daripada RM2.15 kepada RM3.35 di Semenanjung Malaysia.
Malah, ada laporan yang menyatakan pengusaha bas persiaran & bas charter (bas sewa) tersepit selepas pengumuman tersebut.
Ini kerana kebanyakan pengusaha bas itu telahpun menerima tempahan sehingga hujung tahun pada kadar tambang yang ditetapkan mengikut harga diesel RM2.15 seliter.
Sebagai info, 10 pengangkutan awam yang mendapat Subsidi di bawah SKDS 1.0 adalah
- Bas sekolah
- Bas ekspres
- Bas henti-henti
- Bas mini
- Bas Pengantara
- Kereta sewa
- Teksi
- Van & lori mayat
- Ambulans
- Kereta BOMBA
Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Di Semenanjung RM3.35 Seliter Bermula Isnin, 10 Jun
Baca Artikel Berkaitan: Tiada Pilihan Lain, Penyasaran Subsidi Untuk Selamatkan Negara – Anwar Ibrahim
Baca Artikel Berkaitan: Kenapa Harga Minyak Tidak Turun? Ini Jawapan Rafizi