Penyasaran Subsidi Diesel Tidak Akan Meningkatkan Harga Barangan Berlipat Ganda – Penganalisis Ekonomi
Penganalisis Ekonomi UniKL berkata, harga baru itu juga dilaksanakan ketika harga minyak mentah dunia dikira rendah iaitu sekitar AS$75 satu tong (kira-kira RM353.84).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kenaikan harga diesel yang diumumkan kerajaan pada Ahad lalu (9 Jun) telah mendatangkan kerisauan segelintir pihak yang menjangkakan harga barangan runcit juga akan mengalami peningkatan secara mendadak.
Manakan tidak, sebelum ini harga diesel yang bernilai RM2.15 seliter kini menjadi RM3.35 sen seliter bermula awal pagi semalam (10 Jun) sekali gus meningkatkan kos penghantaran barangan yang perlu ditanggung peniaga.
Penyasaran subsidi diesel bukan alasan untuk peniaga naikkan harga berlipat ganda
Bagaimanapun, langkah penyasaran subsidi diesel ini tidak boleh dijadikan alasan untuk para peniaga menaikkan harga barangan berlipat kali ganda.
Memetik Harian Metro, Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School Prof Dr Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harga diesel terbaru itu adalah mengikut harga pasaran yang diluluskan oleh kerajaan.
Harga baru diesel dilaksanakan ketika harga minyak mentah dunia rendah
Malah Zulhazmi berkata, harga baru itu juga dilaksanakan ketika harga minyak mentah dunia dikira rendah iaitu sekitar AS$75 satu tong (kira-kira RM353.84).
“Oleh itu, harga barangan sepatutnya tidaklah naik berganda kerana kerajaan memberikan subsidi kepada syarikat logistik dan pengangkutan yang terbabit. Ini bertujuan meminimumkan kenaikan harga barangan terutamanya barangan keperluan.
“Namun begitu, sudah pasti akan ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan sebagai alasan peningkatan kos pengangkutan yang menyeluruh.
“Jadi, pemantauan ketat oleh agensi kerajaan harus dilaksanakan dan mereka perlu turun padang untuk memastikan kenaikan kos sara hidup tidak melarat,” katanya.
Harga diesel terbaru masih rendah berbanding negara Asia Tenggara lain
Menurutnya, harga terbaru diesel yang diumumkan itu juga masih lagi antara terendah berbanding negara lain di Asia Tenggara, kecuali Brunei Darussalam.
Menerusi infografik yang dikongsikan oleh kerajaan sebelum ini, harga diesel di Brunei adalah RM1.09 seliter, manakala Malaysia di tempat kedua terendah sebanyak RM3.35 seliter.
Negara jiran seperti Singapura pula, adalah RM8.79 seliter, Thailand (RM4.24 seliter) dan Indonesia (RM4.43 seliter).
Jelasnya lagi, harga diesel yang lebih tinggi di negara-negara lain berkemungkinan disebabkan faktor seperti cukai tambahan daripada kerajaan, kos logistik dan sebagainya.
“Justeru, aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran akan menjadi amat berkurangan kerana jurang harga diesel Malaysia dan negara jiran tidak lagi terlalu jauh seperti sebelum ini,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Zulhazmi berkata jangkaan kadar inflasi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk 2024 akan berada pada julat 2.0 ke 3.5% terutama kesan daripada pelaksanaan subsidi bersasar ini.
Ujarnya, kebaikan utama penyasaran subsidi bagi jangka pendek adalah kepada kerajaan iaitu dapat menstruktur semula ekonomi negara daripada perbelanjaan subsidi yang tinggi serta dapat meringankan beban kewangan dan menurunkan hutang negara.
Untuk info, pelaksanaan subsidi bersasar ini juga bagi memberi peluang kepada kerajaan untuk menstruktur semula subsidi pukal negara.
Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Di Semenanjung RM3.35 Seliter Bermula Isnin, 10 Jun
Baca Artikel Berkaitan: