Tidak Wajar Kaitkan Video Kempen PRU12 ‘Hari Ini Menang, Esok Minyak Turun’, Kata Anwar Ibrahim
Jelas PMX, harga minyak negara pada ketika itu lebih tinggi berbanding dengan negara-negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan penetapan harga diesel di Semenanjung Malaysia pada kadar RM3.35 seliter.
Pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Ahad (9 Jun) yang lalu nyata mengundang pelbagai reaksi dari rakyat.
Ada yang dapat menerima kenaikan harga ini namun tidak kurang juga yang turut mempersoalkannya hingga ada segelintir individu mengaitkan kenaikan ini dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang pada tahun 2008.
Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Di Semenanjung RM3.35 Seliter Bermula Isnin, 10 Jun
Tidak Wajar Kaitkan Kenaikan Harga Minyak Dengan Video Lama
Terbaharu, beliau yang juga merupakan Menteri Kewangan berpendapat tidak wajar mengaitkan harga minyak semasa dengan ucapannya ketika berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) sekitar 16 tahun yang lalu.
Jelas beliau, harga minyak negara pada ketika itu lebih tinggi berbanding dengan negara-negara pengeluar minyak seperti Arab Saudi.
“(Rakaman video) Yang mengatakan saya ulang hari ini menang, esok harga minyak turun.
“Saya sebut itu tahun 2008 kerana harga minyak di Arab Saudi sekitar 50 sen manakala kita RM1.80.
“Sekarang kos sudah bertambah RM2.95 di Arab Saudi dan kita RM2.05, minyak murah ini hanya di Brunei.
“Kos dah bertambah. Bagaimana boleh bandingkan kos pada tahun 2008 dengan 2024? Ini asas ekonomi,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan pada Selasa (11 Jun).
Tidak Jamin Tiada Kenaikan Harga Barang
Pada masa yang sama, beliau turut menjelaskan walaupun Malaysia merupakan negara yang mempunyai kadar inflasi rendah di ASEAN namun tiada jaminan tiada kenaikan harga barang berlaku walaupun beliau tidak mahu perkara tersebut terjadi.
“Saya nak maklum kepada saudara, kita fikir betul-betul, sekarang saya Perdana Menteri, saya tidak mahu kenaikan.
“Kalau kata kadar inflasi rendah, memang rendah tapi maknanya apa? Harga barang naik sikit.
“Saya tidak kata barang tidak naik. Tapi kadang-kadang dalam perbincangan kita (menyebut) Anwar kata barang tidak naik. Tak ada.
“Inflasi yang terendah di ASEAN maknanya kenaikan kecil masih berlaku,” jelas beliau lagi.
Sejak pengumuman harga diesel ditetapkan pada kada RM3.35 seliter pada Ahad (9 Jun), tular di media sosial video ucapan Anwar Ibrahim ketika beliau menjadi Ketua Pembangkang pada tahun 2008.
Antara ucapan yang menjadi perhatian ramai adalah janji beliau yang akan menurunkan harga minyak pada keesokan hari jika beliau memenangi pilihan raya pada waktu itu.
Baca Artikel Berkaitan: Penyasaran Subsidi Diesel Tidak Akan Meningkatkan Harga Barangan Berlipat Ganda – Penganalisis Ekonomi
Baca Artikel Berkaitan: Kenapa Harga Minyak Tidak Turun? Ini Jawapan Rafizi