fbpx
Now Reading
Tiada Sebab Munasabah Sektor Logistik Mahu Naikkan Harga, Kata Menteri Kewangan II

Tiada Sebab Munasabah Sektor Logistik Mahu Naikkan Harga, Kata Menteri Kewangan II

Menurut Amir Hamzah, kerajaan telah membangunkan mekanisme interim melibatkan pembayaran semula secara tunai buat pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 namun belum memperoleh fleet card

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Walaupun telah empat hari berlalu, pengumuman mengenai penetapan harga diesel menjadi RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia masih lagi hangat diperkatakan sehingga kini.

Ini kerana ada segelintir pihak khususnya yang menggunakan kenderaan jenis diesel terkesan dengan penetapan harga baharu ini.

Namun, ada juga orang biasa yang risau dengan kemungkinan harga barang dan perkhidmatan akan naik susulan penetapan kadar baharu itu.

Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Di Semenanjung RM3.35 Seliter Bermula Isnin, 10 Jun

Tiada Sebab Sektor Logistik Naikkan Harga

Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, tiada sebab munasabah bagi sektor logistik untuk menaikkan harga susulan pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0).

Jelas beliau, kerajaan kini sedang giat memastikan penyasaran subsidi diesel tercapai terutama yang melibatkan pelaksanaan SKDS2.0 bagi membolehkan kenderaan logistik tertentu kekal memperoleh diesel dengan harga RM2.15 seliter.

“Kerajaan mahu pelaksanaan program penyasaran subsidi diesel berjalan dengan lancar dan akan sentiasa memantau perkembangan aktiviti sektor logistik kerana dengan pelaksanaan SKDS 2.0, tiada sebab munasabah untuk mereka bertindak menaikkan harga yang boleh mengesankan rakyat.

“Pembayaran semula secara tunai ini ialah langkah sementara kerajaan untuk terus membantu pembekal perkhidmatan logistik supaya tidak terkesan dengan perubahan harga runcit diesel,” jelas beliau.

Bangunkan Mekanisme Sementara Buat Kenderaan Logistik Yang Belum Dapat Fleet Card

Tambah beliau lagi, kerajaan telah membangunkan mekanisme interim melibatkan pembayaran semula secara tunai buat pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan di bawah SKDS 2.0 namun belum memperoleh fleet card seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali.

Jelasnya lagi, ia merupakan kaedah sementara bagi menampung perbezaan harga runcit diesel baharu iaitu RM3.35 seliter dengan harga SKDS sebanyak RM2.15 seliter.

Boleh Mohon Pembayaran Semula Mulai 1 Julai 2024

Pemilik kenderaan logistik yang telah diluluskan namun belum mendapat fleet card boleh membuat permohonan bayaran semula mulai 1 Julai ini di laman BUDI MADANI.

Bagi membuat permohonan dan layak menerima pembayaran semula itu, pemilik kenderaan perlu membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada KPDN di bawah SKDS2.0 selewa-lewatnya pada 30 Jun 2024.

Pemohon juga diingatkan agar menyimpan resit pembelian diesel bagi tujuan audit.

“Mekanisme interim pembayaran semula ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan tambahan pemohon sehingga menerima fleet card atau bagi tempoh maksimum dua bulan, mana-mana yang terdahulu,” jelas beliau.

Amir Hamzah turut menyarankan agar pemilik kenderaan logistik di bawah SKDS2.0 untuk segera memohon fleet card melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

SIARAN MEDIA BERKENAAN KERAJAAN PERKENALKAN MEKANISME INTERIM PEMBAYARAN SEMULA KEPADA PENERIMA SKDS 2.0 YANG BELUM MENDAPAT FLEET CARD

Posted by Kementerian Kewangan on Tuesday 11 June 2024

Baca Artikel Berkaitan: Penyasaran Subsidi Diesel Tidak Akan Meningkatkan Harga Barangan Berlipat Ganda – Penganalisis Ekonomi

Baca Artikel Berkaitan: Pengusaha Bas Sekolah, Bas Ekspres & Bas Persiaran Tiada Sebab Untuk Naikkan Kadar Tambang, Kata Anthony Loke

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.