4 Lelaki Bertopeng & Pakai Baju Pengawal Keselamatan Rompak Kedai Emas Di Kajang [Video]
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Mohammad Nasir empat suspek turut memakai baju pengawal keselamatan, topeng dan sarung tangan gelap sewaktu merompak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak semalam (17 Jun), tular beberapa video di X memaparkan tindakan empat lelaki yang sedang merompak sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang, Selangor.
Menerusi video yang tular, kelihatan tiga individu telah bertindak masuk ke premis berkenaan dan memecahkan cermin kaca yang mempamerkan barangan kemas. Manakala seorang lagi suspek berada di luar premis untuk melihat keadaan sekeliling.
Sebaik sahaja suspek beredar kelihatan orang ramai mula mengerumuni kedai terbabit.
Insiden rompakan di premis barangan kemas berlaku semalam
Terbaharu, polis memaklumkan insiden yang tular itu berlaku pada petang semalam (17 Jun).
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohammad Nasir Drahman laporan berhubung kes telah diterima polis daripada seorang lelaki warga Malaysia sekitar jam 3.30 petang.
Ujarnya lagi, insiden rompakan itu berlaku pada 3.17 petang yang membabitkan seramai empat lelaki.
Pakai baju seperti pengawal keselamatan, bawa senjata dan lepaskan 1 das tembakan
Malah mereka juga dilaporkan memakai baju seperti pengawal keselamatan, selain turut memakai topeng dan sarung tangan gelap dan masuk ke kedai barangan kemas yang terletak di tingkat satu.
“Suspek terus memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barangan kemas. Semasa kejadian suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang ketika kejadian.
“Satu das tembakan dilepaskan ke arah dinding premis sebelum mereka melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan,” jelasnya, lapor Kosmo.
Happened at Metro Kajang pic.twitter.com/MXvI4FWHB7
— @ (@anthraxxx781) June 17, 2024
Jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan
Katanya lagi, jumlah kerugian yang ditanggung kedai berkenaan masih lagi dalam siasatan serta belum dapat disahkan nilainya.
Selain itu, pihaknya masih melakukan siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan pusat beli belah berkenaan.
“Kita masih menjalankan siasatan ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam bangunan dan beberapa orang saksi kejadian bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak melibatkan kecederaan mahupun kematian.”
Tak sampai 10 minit barangan kemas licin
Memetik laporan Harian Metro, menurut saksi kejadian yang dikenali sebagai Nieza memaklumkan tidak sampai 10 minit barangan kemas di premis terbabit telah habis dilarikan empat individu terbabit.
Saksi yang juga pekerja di pusat beli-belah berkenaan memaklumkan ia adalah kejadian kedua yang berlaku selepas lima tahun.