
Wanita Hidap HIV & Hamil 6 Bulan Mengaku Salah Terlibat Dalam Aktiviti Persundalan
Wanita yang turut dikenali sebagai Miza Ozawa itu membuat pengakuan sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada Jumaat (14 Jun) yang lalu, media melaporkan lima individu termasuk dua pelakon video seks terlibat dalam mempromosikan aktiviti persundalan di platform Telegram ditahan polis pada 6 Jun lalu.
Berdasarkan siasatan, mereka mengenakan bayaran antara RM450 hingga RM550 bagi setiap kandungan.
Malah, mereka juga turut mempromosikan produk ubat-ubatan dan menawarkan perkhidmatan seks dengan mengenakan bayaran tambahan kepada pelanggan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd, lima individu yang ditahan merupakan seorang wanita tempatan yang dikenali sebagai Miza Ozawa.
Manakala, empat orang lagi merupakan pembantu kepada Miza dengan dua daripadanya dipercayai pelakon dalam video seks yang dihasilkan mereka.
Miza Ozawa Mengaku Bersalah Terlibat Dalam Aktiviti Persundalan
Terbaharu, Miza Ozawa atau nama sebenarnya Siti Amiza Baharuddin mengaku bersalah atas pertuduhan mencari langganan persundalan di platform Telegram awal bulan lalu.
Dia yang sedang hamil enam bulan itu membuat pengakuan sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.
Namun, mahkamah menetapkan 24 Jun ini untuk fakta kes dan jatuh hukum di mana pertuduhan tersebut akan didengar di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.
Berdasarkan pertuduhan, Siti Amiza didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah unit Kondominium yang terletak di Bandar Bukit Mahkota Kajang pada 6 Jun jam empat petang.
Dia kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Namun, Miza memohon agar mahkamah mengenakan denda yang minimum terhadapnya kerana dia sedang hamil enam bulan dan menghidap HIV.
Walau bagaimanapun, Majistret Nurdiyanah tidak menetapkan sebarang jaminan terhadap pertuduhan tersebut.
Turut Mengaku Bersalah Miliki Bahan Lucah & Ubat Terlarang Tanpa Kelulusan KKM
Dalam prosiding yang sama, Siti Amiza turut mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki bahan lucah dan ubat terlarang tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada waktu, tempat dan hari yang sama.
Dia bagaimanapun dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,500 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut.
Bagi pertuduhan memiliki bahan lucah, Siti Amiza didakwa memiliki bahan tersebut yang terkandung dalam komputer riba dan telefon bimbit miliknya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Manakala, bagi pertuduhan memiliki ubat kuat tanpa kelulusan KKM, dia didakwa memiliki ubat yang tidak berdaftar iaitu dua kotak Secret Negro dan dua kotak Dara Jelita.
Tindakan itu menyebabkan dia didakwa melanggar peraturan Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta melakukan kesalahan di bawah Peraturan 30(1) Akta Jualan Dadah 1952.
Hukuman bagi kesalahan tersebut memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara maksimum hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Mohon Hukuman Setimpal
Terdahulu, Timbalan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman memohon agar hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran dikenakan ke atas dua-dua kesalahan tersebut.
“Bagi kesalahan di bawah KKM, hukuman denda saja tidak memberi pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam,” katanya.
Walau bagaimanapun, Siti Amiza memohon agar hukuman dan denda dapat dikurangkan kerana dia kini tidak mempunyai pendapatan selepas wang simpanan yang sepatutnya digunakan untuk proses bersalin telah dirampas oleh pihak berkuasa.
“Saya menyara hidup sendiri di Selangor dan mohon denda seminimum mungkin,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: ‘Daddy Ash’ & 2 Kekasih Didakwa Di Mahkamah, Mengaku Tidak Bersalah Buat Iklan Persundalan
Baca Artikel Berkaitan: Terlibat Aktiviti Pelacuran, 4 Wanita Warga Asing Dicekup Polis