Wanita Jatuh Treadmill Maut Sebelum Terpelanting Keluar Tingkap Di Gim Tingkat 3
Unit Siasatan Jenayah Kepolisian Resor Kota (Polresta) Pontianak, Indonesia masih melakukan siasatan berhubung kematian wanita berkenaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (18 Jun), seorang wanita berusia 22 tahun di Indonesia maut selepas terjatuh daripada tingkat 3 sebuah pusat gimnasium di Jalan Parit Husein 2, Pontianak Tenggara.
Memetik laporan TribunPontianak, wanita terbabit meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
Menurut laporan itu, wanita berkenaan semasa kejadian sedang bersenam di atas sebuah treadmill sebelum terjatuh ke belakang dan terpelanting keluar daripada tingkap bangunan gimnasium terbabit yang berada dalam keadaan terbuka.
Posisi treadmill membelakangi tingkap dengan jarak hanya 60cm
Pemantauan yang dilakukan oleh TribunPontianak juga mendapati bahawa posisi treadmill itu membelakangi tingkap dengan jarak hanya 60cm selain tiada balkoni atau penghadang menyebabkan mangsa terus terjatuh ke bawah bangunan terbabit.
Menurut seorang saksi yang dikenali sebagai Latif, kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari waktu tempatan.
Ujar Latif, semasa kejadian berlaku dia sedang berada di ruang alat mengangkat berat sebelum mendengar suara kekecohan orang ramai bahawa ada seseorang yang terjatuh.
Unit Siasatan Jenayah siasat kejadian terbabit
Sementara itu, Unit Siasatan Jenayah Kepolisian Resor Kota (Polresta) Pontianak masih melakukan siasatan berhubung kematian wanita berkenaan.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polresta Pontianak, Antonius Trias Kuncorojati berkata mangsa didapati berasal dari Sungai Raya, Kubu Raya.
Berhubung kejadian itu, pihaknya sedang melakukan bedah siasat terhadap mayat mangsa dan akan memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, turut tular di media sosial rakaman CCTV saat kejadian berlaku sekali gus meraih perhatian ramai terhadap tindakan pihak gimnasium terbabit yang meletakkan treadmill membelakangi tingkap dengan jarak yang dekat.
Detik -detik seorang Perempuan meninggal usai terjatuh dari treadmill dan terpental keluar dari jendela yang ada di lantai 3 tempat Gym. (18/6/2024)
— Miss Tweet | (@Heraloebss) June 18, 2024
📍Pontianak pic.twitter.com/blTEfUvSZy