fbpx
Now Reading
PAS Sertai Kerajaan Perpaduan Hanya Imaginasi Fahmi – Takiyuddin

PAS Sertai Kerajaan Perpaduan Hanya Imaginasi Fahmi – Takiyuddin

Menurut Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS, kenyataan Fahmi berhubung parti itu ingin menyertai kerajaan perpaduan tiada kaitan dengan realiti politik.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

PAS menganggap kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada baru-baru ini yang berkemungkinan bahawa parti itu ingin menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai imaginasi beliau sendiri.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menerusi satu posting di akaun Facebook miliknya berkata kenyataan Fahmi itu tiada kaitan dengan realiti politik.

“Jelas ia bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dan menimbulkan persepsi buruk terhadap PAS, terutama dalam kalangan pengundi di DUN (Dewan Undangan Negeri) Sungai Bakap yang bakal memilih wakil rakyat baharu pada 6 Julai.

“Justeru ahli dan penyokong PN tidak harus terperangkap dengan politik dan publisiti murahan pemimpin Pakatan Harapan (PH) ini,” katanya semalam (23 Jun).

Rundingan PAS dan PM hanya rundingan biasa

Menurutnya lagi, rundingan yang dikatakan Fahmi itu iaitu di antara menteri besar di negeri yang ditadbir PAS dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah rundingan biasa.

Ujar Ahli Parlimen Kota Bharu itu, rundingan tersebut berhubung urusan pentadbiran pusat dan negeri dalam sesebuah negara Persekutuan.

Fahmi terpaksa alihkan perhatian orang ramai kepada PAS dan PN?

Takiyuddin mendakwa Fahmi terpaksa mengalihkan perhatian orang ramai kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN) dengan isu tidak berbangkit kerana kelemahan kerajaan terutama dalam mengendali kesan langkah penyarasan subsidi diesel.

“Suka ditegaskan bahawa PAS tetap kekal bersama gabungan serta kerjasama PN dan iltizam ini disebut sebelum ini oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man serta Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Ahmad Yahya.

“Perlu juga ditegaskan bahawa PAS bukan seperti parti dalam gabungan kerajaan yang sering mengubah janji dan pendirian mereka ketika sebelum pilihan raya dan selepasnya atau pada bila-bila masa lain yang perlu apabila tersepit dengan keadaan,” katanya lagi.

Terdahulu, Fahmi yang ditemu media tidak mengesahkan atau menafikan ura-ura yang PAS akan menyertai kerajaan.

Menerusi video yang tular, Fahmi yang juga ketua Penerangan PKR berkata, wujudnya beberapa perbincangan antara kerajaan dan pembangkang dalam urusan membabitkan kerajaan negeri antaranya dengan Kelantan dan Terengganu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.