KPDN Serbu Kedai Makan Caj Pelanggan 10 Sen Jika Bayar Guna Kod QR [Video]
Menurut Pengarah KPDN Melaka, peniaga terbabit telah dikenakan kompaun RM200 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Media hari ini (26 Jun) mendedahkan seorang peniaga makanan di Medan Selera Jalan Tun Ali, Kampung Morten, Melaka mengenakan caj sebanyak RM0.10 bagi setiap RM10 harga makanan.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter @MalaysiaGazette, peniaga terbabit mendakwa caj tambahan yang dikenakan itu adalah mengikut arahan bank dan bukannya secara sesuka hati.
Peniaga wanita berusia 60-an itu mendakwa caj pembayaran menggunakan kod QR itu telah dikenakan terhadap pelanggannya sejak dia menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai berkenaan.
“Kalau nak bayar guna ‘scan’ (imbas kod QR), kena tambah 10 sen bagi setiap RM10 harga makanan. Kalau RM30 kena caj 30 sen sebab bank suruh bukan saya suka-suka,”.
— Malaysia Gazette (@MalaysiaGazette) June 26, 2024
Itu alasan diberikan peniaga di Medan Selera Jalan Tun Ali, Kampung Morten di sini apabila disoal wartawan… pic.twitter.com/nwL0BLVH13
KPDN Melaka tak tunggu lama, terus serbu kedai makan terbabit
Terbaharu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyerbu kedai makan berkenaan.
Serbuan pada pukul 10.40 pagi iaitu kurang daripada dua jam selepas videonya tular itu diketuai oleh Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar.
Menurutnya, hasil semakan mendapati peniaga wanita berkenaan mengaku mengenakan caj 10 sen bagi setiap RM10 pembayaran secara imbas kod QR.
Pihak bank sahkan tiada sebarang caj dikenakan kepada peniaga terbabit
“Peniaga berkenaan memberi alasan caj 1% itu dikenakan pihak bank terhadapnya sebelum dia ‘memindahkan’ kos itu kepada pelanggan tanpa sebarang notis pemakluman awal.
“Bagaimanapun hasil semakan kami, pihak bank mengesahkan tiada sebarang caj tambahan dikenakan terhadap peniaga terbabit seperti didakwa,” katanya.
Peniaga dikenakan kompaun RM200, kertas siasatan juga dibuka
Menurutnya lagi, susulan itu peniaga terbabit telah dikenakan kompaun RM200 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Berkongsi lanjut, Norena berkata tindakan yang dilakukan oleh peniaga terbabit merupakan satu kesalahan dan pihaknya akan membuka kertas siasatan.
“Saya ingin menegaskan kenaikan sebegini tidak boleh dijadikan alasan susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar sejak awal bulan ini.
“Semua peniaga diingatkan agar mematuhi undang-undang dan tidak menaikkan harga sewang-wenangnya dengan memberi alasan tidak munasabah,” katanya lagi.
Terdahulu, perkara tersebut mula didedahkan wartawan MalaysiaGazette selepas seorang pelanggan dikenakan caj sebanyak 10 sen untuk harga makanan RM3.70.
Jelas, alasan yang diberikan oleh peniaga terbabit terhadap caj yang dikenakan itu adalah tidak munasabah sama sekali.