fbpx
Now Reading
Masjid, Surau & Musolla Di Selangor Di Arah Tangguh Atau Tidak Undang Ustaz Don – Pengarah JAIS

Masjid, Surau & Musolla Di Selangor Di Arah Tangguh Atau Tidak Undang Ustaz Don – Pengarah JAIS

Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah (MAIS) juga telah memutuskan Ustaz Don perlu mengemukakan kenyataan bertulis kepada MAIS terhadap beberapa fakta tentang ceramah agama yang dibuat olehnya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kebelakangan ini, nama pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid yang telah lama menyampaikan ilmu agama kepada umat Islam di Malaysia semakin hangat diperkatakan oleh orang ramai.

Umum mengetahui, ia susulan beberapa kenyataan kontroversi yang dikeluarkan oleh Ustaz Don sebelum ini yang kurang dipersetujui sesetengah pihak.

JAIS arah masjid, surau dan musolla tangguh atau tak undang Ustaz Don

Terbaharu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menerusi satu kenyataan semalam (25 Jun) telah mengarahkan semua agensi masjid, surau dan musolla di negeri itu untuk menangguhkan atau tidak mengundang Ustaz Don.

Pengarah JAIS, Datuk Haji Mohd Shahzihan Ahmad berkata, arahan itu telah dikeluarkan pada 21 Jun lalu di mana Ustaz Don tidak dibenarkan untuk mengajar atau apa-apa perkara tentang agama Islam di premis-premis berkenaan.

Arahan dibuat berikutan beberapa isu melibatkan Ustaz Don

Menurutnya, ketetapan ini dibuat berikutan beberapa isu mengenai pengajaran atau ceramah agama Islam yang disampaikan oleh Ustaz Don disyaki membawa kepada pelanggaran beberapa ketetapan di dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor amat berkenan dan menekankan kepada para pemegang tauliah agar umat Islam di negeri Selangor dapat diberikan kefahaman Islam yang tepat berdasarkan sumber sahih mengikut disiplin ilmu Islam.

“Sehubungan itu, JAIS perlu menghentikan perkara seumpama ini dengan segera supaya tidak berleluasa di negeri Selangor berkaitan apa jua bentuk pandangan-pandangan dan pernyataan tentang hukum-hakam agama Islam yang tidak berasaskan nas dan dalil yang sahih serta di luar pengetahuan umum majoriti umat Islam,” katanya.

Ustaz Don perlu kemukakan kenyataan bertulis kepada MAIS untuk elak tauliah digantung

Menurutnya lagi, Mesyuarat Jawatankuasa Tauliah (MAIS) pada kelmarin (24 Jun) juga telah memutuskan Ustaz Don perlu mengemukakan kenyataan bertulis kepada MAIS terhadap beberapa fakta tentang ceramah agama yang dibuat olehnya.

Ujar Mohd Shahzihan, perkara itu selaras dengan peraturan 17 (b), (d) dan (f) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 agar penggantungan atau penarikan semula tauliah oleh jawatankuasa tidak dilaksanakan terhadap beliau.

Ustaz Don juga disiasat

“Berdasarkan beberapa aduan yang diterima oleh pihak Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan JAIS, satu kertas siasatan juga dibuka terhadap Ustaz Don Daniyal Bin Don Biyajid di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut, beliau berharap agar semua pihak dapat memberi kerjasama dan akur serta patuh dengan arahan terbabit sehingga Jawatankuasa Tauliah MAIS membuat keputusan muktamad tentang kedudukan Ustaz Don sebagai pemegang tauliah mengajar MAIS.

Ustaz Don mula dikritik selepas kongsi kisah hidup Nabi Muhammad SAW

Terdahulu, Ustaz Don mula mencuri perhatian ramai susulan kenyataan beliau mengenai kisah Nabi Muhammad SAW bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Ummu Hani’ Binti Abu Talib sehingga mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Susulan itu, beliau yang juga pengacara dalam program Salam Baitullah di RTM telah direhatkan sementara sebelum diputuskan untuk direhatkan terus daripada program terbabit.

Malah tidak lama selepas itu, nama beliau sekali lagi hangat diperkatakan selepas didakwa mengelirukan ramai tentang kenyataan berpuasa di Hari Tasyrik, pun begitu Ustaz Don segera membuat permohonan maaf dan menjelaskan beliau pada waktu itu menjawab soalan dalam keadaan mengelirukan.

Baca Artikel Berkaitan: Ustaz Don Tampil Mohon Maaf Kerana Jawapan Berpuasa Di Hari Tasyrik Bikin Ramai Keliru [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Baru Sahaja Kembali, Ustaz Don ‘Direhatkan Terus’ Dari Program Salam Baitullah

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.