fbpx
Now Reading
Keputusan MFL Seolah-olah Hilang Sifat Kemanusiaan & Melampaui Batas – MB Selangor

Keputusan MFL Seolah-olah Hilang Sifat Kemanusiaan & Melampaui Batas – MB Selangor

Menteri Besar Selangor juga mewakili seluruh kerajaan negeri itu menjunjung kasih titah baginda mengenai keputusan MFL berkenaan terhadap Selangor FC.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui, pada ketika ini isu mengenai keputusan Malaysian Football League` (MFL) terhadap Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) sedang hangat diperkatakan di mana kebanyakan orang memberikan kecaman kepada MFL.

Lebih menghangatkan lagi apabila Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan rasa kecewa dan murka dengan keputusan MFL dan ahli-ahli persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) khususnya Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

MB Selangor junjung kasih titah Sultan Selangor

Terbaharu, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mewakili seluruh kerajaan negeri itu menjunjung kasih titah baginda mengenai perkara itu.

Menurutnya, titah murka baginda itu juga menggambarkan kemarahan serta kekecewaan peminat bola sepak terhadap keputusan MFL yang seolah-olah hilang sifat kemanusiaan, bertimbang rasa serta melampaui batas.

“Keganasan jenayah yang berlaku terhadap tonggak bola sepak negeri, Faisal Halim adalah satu titik hitam dalam sejarah bola sepak tanahair.

“Sebagai badan mentadbir liga bola sepak, MFL sewajarnya memainkan peranan mengangkat keadilan, menentang keganasan serta bersifat empati terhadap nasib dan keselamatan pemain bola sepak negara yang diperlakukan dengan kejam oleh pihak tidak berhati perut yang bertindak sebagai pengecut.

“Titah Sultan Selangor dizahirkan setelah tindakan MFL yang bukan sahaja mengenakan denda RM100,000 kepada pasukan Selangor FC, tetapi menambah hukuman dengan memaksa perlawanan di Selangor dimainkan tanpa penonton,” katanya dalam satu kenyataan semalam (26 Jun).

Keputusan MFL hanya menambah beban Selangor FC

Menurutnya lagi, ia sekali gus menambah beban Selangor FC dengan mengenakan denda pemotongan tiga mata ketika pasukan JDT sudah menerima kemenangan percuma dalam Piala Sumbangsih.

“Tindakan yang tidak pernah berlaku ataupun ‘unprecedented’ ini yang mengundang rasa kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan penyokong seharusnya menjadi isyarat kepada MFL bahawa keputusan mereka dibuat tanpa sebarang rasa bertanggungjawab,” katanya lagi.

Susulan itu, Amirudin berkata, mengambil iktibar dan pedoman titah Sultan Selangor, beliau sudah berbincang dengan Pengurusi Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi.

Kerajaan Selangor bersetuju lancar usaha kutip dana untuk bantu bayar denda

Jelasnya, kerajaan negeri bersetuju melancarkan usaha bersama memberikan peluang kepada semua pihak termasuk peminat Selangor FC bagi mengumpul dana untuk membayar denda yang dikenakan itu.

“Maklumat lanjut usaha ini akan dikongsikan dalam masa terdekat oleh pihak Majlis Sukan Negeri Selangor dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Sukan Selangor.

“Bagi menggerakkan usaha solidariti ini, saya dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan turut menyumbang kepada usaha mengumpul dana dan membayar denda pada minggu hadapan sebagai komitmen untuk menegakkan keadilan bagi Selangor FC,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam pada Rabu (27 Jun) berkata, Selangor FC boleh mengemukakan rayuan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung hukuman yang dikenakan.

Jelasnya pasukan Gergasi Merah mempunyai tempoh sehingga hujung minggu ini untuk menghantar surat rayuan rasmi kepada badan pengelola liga bola sepak tempatan tersebut.

“Badan rayuan akan meneliti semua dokumen berkaitan dan bersidang selama dua hingga tiga minggu sekiranya Selangor memutuskan untuk mengeluarkan surat rayuan,” katanya dipetik Awani.

Baca Artikel Berkaitan: Sultan Selangor Murka Dengan Keputusan MFL & FAM, Hukuman Pada Selangor FC Tiada Ihsan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.