fbpx
Now Reading
Peruntukan Pembangkang: “Tunggu Saya Lari Dahulu” – TPM II

Peruntukan Pembangkang: “Tunggu Saya Lari Dahulu” – TPM II

PM Anwar Ibrahim sebelum ini pernah mengingatkan wakil rakyat pembangkang untuk berunding dengan kerajaan sekiranya mahu peruntukan disalurkan kepada mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini (1 Julai) enggan mengulas mengenai status peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang.

Malah beliau ketika menjawab pertanyaan media hanya berseloroh dengan berkata, “Tunggu saya berlari dahulu”.

Fadillah berkata demikian selepas melancarkan Koperasi Gabungan Pemandu-Pemandu Ahli Parlimen Malaysia (GPMP) Berhad di Parlimen, lapor Sinar Harian.

Syed Saddiq dakwa MP pembangkang tidak dilayan sama rata

Pagi tadi, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang baru sahaja menamatkan larian solo sejauh 200km dari Muar ke Parlimen mendakwa wakil rakyat dari blok pembangkang termasuk dirinya terus berdepan diskriminasi untuk memperoleh peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Inisiatif yang dinamakan Langkah Muar itu adalah bagi mencari dana untuk kawasan Parlimennya.

Selain itu ia juga satu tanda protes terhadap kerajaan kerana menafikan peruntukan bagi Parlimen pembangkang.

Baca artikel berkaitan: “Untuk Dana & Sebagai Tanda Protes” – Syed Saddiq Mahu Lari 200KM Dari Muar Ke Parlimen

Foto: Syed Saddiq

Tegas Syed Saddiq, objektif utama larian itu adalah untuk menuntut peruntukan RM20 juta sepenggal atau RM4 juta setahun yang seharusyna diterima oleh Ahli Parlimen pembangkang sama seperti yang diperoleh oleh ahli Parlimen kerajaan.

Malah Syed Saddiq sebelum ini mendakwa sudah berjumpa dan berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mendapatkan peruntukan, namun tiada sebarang respons diterima.

“PM minta saya jumpa dan berunding untuk dapatkan peruntukan. Kedua-duanya saya sudah buat. Siap saya utuskan surat, tapi tiada balasan. Siap saya heret Kerajaan ke Mahkamah untuk tuntut janji mereka, masih sunyi sepi.

“Hampir satu tahun Parlimen Muar disisihkan oleh Kerajaan. Dalam masa satu tahun ini, satu sen pun kami tak terima. Bantuan untuk rakyat tak cukup,” luah Syed Saddiq di Facebook.

Nak peruntukan, runding dengan kerajaan – PM

Anwar pada September 2023 pernah mengingatkan wakil rakyat pembangkang untuk berunding dengan kerajaan sekiranya mahu peruntukan disalurkan kepada mereka.

Malah beliau meminta Ahli Parlimen pembangkang agak tidak bersikap angkuh dan sombong sebaliknya berbincang dengan kerajaan menerusi rundingan bersama Fadillah.

Foto : Anwar Ibrahim

PN henti rundingan, dakwa kerajaan minta jaminan

Namun pada November 2023, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan mereka tidak akan meneruskan rundingan berkaitan peruntukan sama rata wakil rakyat kepada pembangkang.

Menurut Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ini selepas kerajaan meminta beberapa jaminan selain turut meminta pembangkang menulis surat kepada kerajaan, seolah-olah mereka memohon peruntukan tersebut.

“Semasa pemerintahan PN di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (bekas PM), kerajaan yang tawarkan kepada pembangkang, untuk tandatangan MoU, setuju dengan syarat dan diberikan peruntukan itu. Kenapa kami perlu menghantar surat pula kalau kata benar nak bagi dan kami memberi aku janji tertentu,” kata Takiyuddin.

Kerajaan sedang rangka MOU

Pada April 2024, media kemudiannya melaporkan kerajaan sedang merangka draf Memorandum Persefahaman (MoU) berhubung penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang dan akan diserahkan kepada semua parti politik untuk diluluskan.

Malah menurut Anwar, tidak ada syarat pembangkang perlu menyokongnya bagi mendapatkan peruntukan.

Perkara itu disambut baik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Takiyuddin.

Takiyuddin pada awal Jun menjelaskan beliau sendiri akan mewakili Ketua Pembangkang bagi menghadiri pertemuan dengan Fadillah pada 13 Jun bagi mengetahui perkembangan terkini status peruntukan tersebut

“Kita nak tahu apakah syarat-syaratnya dan selepas itu barulah kami boleh buat keputusan sama ada akur atau tidak dengan syarat tersebut.”

Namun tiada perkembangan lanjut berhubung rundingan tersebut sama ada ianya dilangsungkan atau dibatalkan.

Sebagai rekod, Anwar semasa bergelar Ketua Pembangkang pada 2021 pernah meminta Kerajaan Persekutuan agar memberi peruntukan sama rata kepada semua Ahli Parlimen.

Malah ianya juga harus saksama dan melibatkan semua parti pembangkang yang lain walaupun mereka tidak termasuk dalam perjanjian MoU bersama kerajaan yang ketika itu di bawah pimpinan Ismail Sabri.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.