Ahad lalu (7 Julai), negara dikejutkan dengan berita dua kanak-kanak kritikal selepas termakan keropok yang mengandungi racun yang disangkut di atas pagar oleh seorang petani di Kampung Padang Ubi, Kulim, Kedah.
Selepas beberapa hari kedua-dua beradik itu bertarung nyawa, salah seorang daripada dua beradik berkenaan dilaporkan meninggal dunia pada semalam (10 Julai).
Muhamad Akil Syauqi yang berusia 3 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), manakala adiknya pula, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di hospital sama.
Pekebun letak keropok beracun direman 6 hari
Terbaharu, pekebun lelaki yang meletakkan racun di dalam keropok terbabit telah direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Memetik Harian Metro, permohonan reman terhadap lelaki yang juga berusia 33 tahun itu dibenarkan Hakim Mahkamah Sesyen Mirza Mohamad bermula hari ini sehingga 17 Julai.
Reman dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta 611 pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan iaitu kelakuan cuai berkenaan benda beracun.
Dua beradik makan keropok beracun yang disangkut di pagar
Terdahulu, dua beradik itu difahamkan termakan keropok disyaki bercampur racun tikus yang digantung di pagar dawai besi dekat kebun tidak jauh dari rumah mereka.
Pekebun berkenaan menggantungkan racun tikus itu bagi tujuan menghalau haiwan liar yang berkeliaran dan mengganggu tanaman yang diusahakan mereka.