Ibu Bapa Ditahan Polis Kerana Biar Anak Umur 13 Tahun Tidur Di Kaki Lima Luar Rumah
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, hasil semakan mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberi didikan dan perlindungan kepada anak.
Namun, entah di mana silapnya ada segelintir daripada mereka yang dilihat culas dan mengabaikan tanggungjawab terhadap amanah Allah itu.
Halang Anak Masuk Rumah Hingga Terpaksa Tidur Di Kaki Lima Selama 4 Hari
Terbaharu, sepasang suami isteri telah ditahan polis kerana disyaki menghalang anak lelaki mereka berusia 13 tahun memasuki rumah hingga menyebabkan dia terpaksa tidur di kaki lima kediamannya yang terletak di Pasir Gudang, Johor.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, pasangan yang berusia 54 dan 56 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 malam pada Rabu (10 Julai) kerana didapati mengabaikan mangsa sejak 7 Julai lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang kanak-kanak lelaki berumur 13 tahun telah diabaikan oleh ibu bapa dengan dibiarkan tidur di kaki lima flat perumahan dan tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah selama empat hari bermula 7 Julai hingga mangsa diselamatkan pihak polis pada 10 Julai,” katanya.
Suspek Lelaki Ada 2 Rekod Jenayah Lampau
Tambah Sohaimi, semakan pihak polis mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau manakala hasil ujian saringan air kencing menunjukkan kedua-duanya negatif dadah.
Pasangan suami isteri itu kini ditahan reman selama lima hari bermula semalam (11 Julai) hingga 15 Julai 2024.
Jelas Sohaimi lagi, kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Malah, dia turut meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan dan menimbulkan salah faham dalam masyarakat.
Sohaimi juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian jenayah untuk menyalurkannya di talian Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seri Alam Johor di talian 07-3871422.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran di kumpulan Facebook Komuniti Taman Air Biru mengenai seorang kanak-kanak lelaki yang dibiarkan tidur di kaki lima.
Walau bagaimanapun, hasil semakan kami di kumpulan Facebook tersebut mendapati hantaran itu telahpun dipadam.
KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH SERI ALAM SIASATAN KES PENGABAIAN KANAK-KANAK TIDUR DI KAKI LIMA FLAT PERUMAHAN…
Posted by Polis Daerah Seri Alam on Thursday 11 July 2024
Baca Artikel Berkaitan: Wanita Dakwa Suami & Ibu Mentua Anti Perubatan Moden Abaikan Anak Dan Enggan Beri Ubat Ketika Sakit