
Isu Stoking Kalimah Allah: KK Mart & Syarikat Pembekal Didenda RM60,000
Kedua-dua wakil syarikat terbabit mengaku bersalah atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah pada Mac lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (15 Julai), Mahkamah Sesyen Shah Alam mendenda syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah pada Mac lalu.
Selain KK Mart, syarikat pembekal stoking berkenaan, Xin Jian Chang Sdn Bhd juga dikenakan denda sebanyak RM60,000 atas kesalahan yang sama.
Kedua-dua syarikat didenda RM60,000 selepas membuat pengakuan bersalah
Hakim Muhamad Anas Mahadzir menjatuhkan hukuman terbabit selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan terdapat perkembangan baharu kes terbabit.
Pengurus besar syarikat KK Mart, Tee Kok Hiem selaku wakil dan Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd, Soh Hui San membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Lima individu diputuskan Mahkamah Sesyen sebagai DNA kes isu stoking kalimah Allah
Bagaimanapun, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif KK Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isteri, Datin Seri Loh Siew Mui yang juga pengarah syarikat terbabit dilepas dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sama.
Selain itu, tiga pengarah syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd juga mendapat perintah DNA selepas pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan ke atas kelima-lima mereka.
Terdahulu, pada 26 Mac lalu, Chai dan Loh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking kalimah Allah di rak pameran jualan.
Lelaki jumpa stoking kalimah Allah di KK Mart Bandar Sunway pada 13 Mac lalu
Perkara tersebut disedari oleh seorang lelaki berusia 32 tahun di KK Mart cawangan Bandar Sunway pada jam 6.30 petang 13 Mac lalu sebelum ia tular di media sosial.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Kee Kan yang juga mewakili syarikat KK Mart juga didakwa mengikut pertuduhan sama.
Syarikat pembekal stoking didakwa bersuhabat lukakan perasaan orang Islam
Sementara itu, syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd bersama tiga pengarahnya, turut didakwa atas pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.
Susulan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 KK yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sekadar info, dua syarikat dan lima individu terbabit pernah mengemukakan representasi pada 17 Mei lalu kepada Jabatan Peguam Negara untuk menggugurkan kes berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: Stoking Kalimah Allah: Pengasas KK Mart Didakwa, Hadapi Tuduhan Lukakan Perasaan Umat Islam
Baca Artikel Berkaitan: Isu Stoking Kalimah Allah: Pengasas KK Mart Menghadap Agong Di Istana Negara Untuk Mohon Ampun