fbpx
Now Reading
PDRM Sahkan Suspek Kes Bunuh Nur Farah Kartini Anggota Polis Di Perak

PDRM Sahkan Suspek Kes Bunuh Nur Farah Kartini Anggota Polis Di Perak

Menurut PRDM, suspek yang berusia 26 tahun dan berpangkat lans koperal itu bertugas di Slim River, Perak.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan sebentar tadi (16 Julai) mengesahkan suspek yang ditahan berhubung penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, adalah seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Hussein Omar, suspek yang berusia 26 tahun itu bertugas di Perak.

Beliau mengesahkan perkara itu selepas ditanya mengenai status lelaki berkenaan.

Bertugas di Slim River, Tanjung Malim

“Siasatan awal mendapati tempat penemuan mayat adalah lokasi kejadian utama,” katanya dipetik Harian Metro.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, turut mengesahkan perkara itu dan berkata suspek sudah lima tahun berkhidmat bersama PDRM.

Dia merupakan seorang anggota berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim.

“Kita sahkan bahawa subjek yang melakukan kes ini setakat yang disiasat oleh KEP Orang Hilang tadi itu, diperlakukan oleh seorang anggota daripada Balai Polis Slim River, dan (untuk itu) pasukan siasatan daripada Polis Daerah Muallim sudah menjalankan siasatan berasaskan KEP Orang Hilang itu.

“Dan beliau (subjek) sudah pun menunjukkan tempat di mana berlakunya kejadian (penemuan mayat), dan apabila kita semak tempat berlaku kejadian terbabit adalah di Selangor. Sehubungan itu, kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibuka oleh Kontinjen Selangor,” katanya lagi.

Berang diugut mungkin jadi punca Nur Farah Kartini dibunuh

Dalam pada itu, Berita Harian yang memetik sumber melaporkan, punca insiden berlaku mungkin disebabkan suspek berang selepas diugut oleh mangsa untuk mendedahkan hubungan sulit mereka kepada isteri suspek.

Ini selepas konflik di antara mereka berlarutan selepas Nur Farah Kartini mendesak agar dia dan suspek berkahwin.

“Mangsa dipercayai mengugut suspek akan membocorkan hubungan antara mereka kepada isteri suspek.

“Suspek yang sudah berkahwin itu berang dengan ugutan berkenaan. Mangsa kemudian dicekik sebelum dilemaskan dalam parit berhampiran mayat ditemui,” katanya dalam satu lagi laporan Berita Harian.

Laporan sebut suspek adalah teman lelaki, namun beberapa individu nafikannya

Terdahulu siasatan terhadap suspek sebelum ini membawa kepada penemuan mayat Nur Farah Kartini di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam (15 Julai).

“Bagaimanapun, motif pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya kepada Harian Metro.

Laporan media juga menyebut suspek yang ditahan reman selama tujuh hari sehingga adalah teman lelaki mangsa.

Namun kenyataan itu dinafikan beberapa individu menerusi hantaran yang tular di aplikasi X. Menurut status yang tular itu, mereka bukanlah pasangan kekasih sebaliknya suspek menyukai Nur Farah Kartini namun cintanya ditolak oleh gadis itu.

Sejauh mana dakwaan berkenaan tidaklah diketahui malah posting yang memuat naik semula hantaran itu di X sudah pun dipadamkan.

Farah Kartini hilang selepas hantar kereta sewa

Sebagai info, mayat seorang wanita dipercayai Nur Farah Kartini ditemukan sekitar jam 6 petang semalam (15 Julai). Polis percaya dia dibunuh oleh individu yang dikenalinya.

Penemuan mayat itu beberapa hari selepas rakan sekerjanya membuat laporan mengenai kehilangan bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berasal dari Miri, Sarawak itu sebaik menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim pada 10 Julai 2024 yang lalu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.