Penyasaran Subsidi Bukan Untuk Susahkan Rakyat, Kata Rafizi [Video]
Menteri Ekonomi itu mengakui sekiranya penyasaran subsidi tidak dibuat dengan segera, unjuran ekonomi negara akan menjadi lebih teruk.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Seperti yang semua orang tahu, kerajaan pada 10 Jun telah mengumumkan penetapan harga diesel baharu bagi Semenanjung Malaysia pada kadar RM3.35 seliter manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada harga RM2.15 seliter.
Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, penetapan kadar baharu ini bertujuan untuk membendung ketirisan subsidi yang menyebabkan kerugian kepada negara.
Namun, inisiatif ini sedikit sebanyak mendatangkan kerisauan kepada segelintir pihak yang gusar akan berlakunya peningkatan harga barang yang lain.
Bukan Untuk Susahkan Rakyat Sebaliknya Bantu Kukuh Ekonomi Negara
Terbaharu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sekali lagi menjelaskan bahawa penyasaran subsidi bukanlah bertujuan untuk menyusahkan rakyat sebaliknya ia adalah untuk memperkukuh ekonomi negara.
“Apa yang kerajaan nak buat dengan penyarasaran subsidi ini, ia ada berkaitan untuk memperkukuh ekonomi negara,” katanya.
Rafizi mengakui sekiranya penyasaran subsidi tidak dibuat dengan segera, unjuran ekonomi negara akan menjadi lebih teruk.
Malah, ketirisan dan penyeludupan akan terus berlaku hingga menyebabkan negara akan rugi dan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan besar sehingga RM52 bilion.
“Baik kita bagi subsidi kepada keluarga yang betul-betul susah dan memerlukan daripada kita subsidi itu disalah guna,” katanya.
Rafizi berkata sedemikian dalam Episod 4 podcast Yang Bakar Menteri (YBM) pada Isnin (15 Julai) yang turut menjemput seorang blogger Salim Iskandar yang mendakwa langkah penyasaran subsidi hanya akan menyusahkan rakyat.
Penyasaran Subsidi Bantu Golongan Sepatutnya
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu mengakui subsidi diesel sebagai contoh digunakan semaksimum mungkin oleh golongan kaya kerana mereka mempunyai kenderaan lebih daripada satu.
“Tapi golongan yang bawah ini dia ada motor sahaja, sebulan dia dapat berapa sahaja tapi kerajaan tetap belanja besar, ada baiknya ambik duit itu dan alihkan kepada keluarga-keluarga yang lebih layak.
“Sebab dengan cara itu sahaja ekonomi negara dapat dirancakkan kerana dan boleh mengurangkan hutang,” katanya.
Bilangan Penerima STR Turut Bertambah -Rafizi
Tambah Rafizi lagi, jika dahulu, bilangan penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) berjumlah enam juta orang.
Namun, bilangan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah meningkat kepada 10 juta penerima.
“Data ini disediakan oleh kumpulan, pegawai yang sama daripada zaman Datuk Seri Najib Tun Razak dan terbukti STR juga dibayar tinggi daripada dulu,” katanya.
“Oleh kerana STR diberikan kepada setiap individu jadi setiap isi rumah dua, tiga orang boleh dapat dengan kadar STR dinaikkan dan rekod menunjukkan ada keluarga miskin boleh dapat bantuan STR mencecah RM6000,” katanya.
Untuk info, program bual bicara Yang Bakar Menteri atau YBM merupakan podcast yang diilhamkan oleh Rafizi sendiri.
Podcast tersebut memberi peluang dan sebagai platform kepada mereka yang mahu bersemuka dengannya.
Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Di Semenanjung RM3.35 Seliter Bermula Isnin, 10 Jun
Baca Artikel Berkaitan: Tiada Pilihan Lain, Penyasaran Subsidi Untuk Selamatkan Negara – Anwar Ibrahim