Polis Berjaya Temui Telefon Pintar Dipercayai Milik Nur Farah Kartini Dalam Parit
Difahamkan, polis turut membawa suspek ke lokasi berkenaan untuk melakukan proses pengecaman telefon pintar mangsa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak sampai beberapa jam mencari bahan bukti bagi kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, pihak polis telah berjaya menemui telefon pintar dipercayai milik mangsa di kawasan parit ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, hari ini (17 Julai).
Telefon pintar itu ditemui oleh anggota Unit Sub Akuatik Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada jam 12.21 tengah hari tadi selepas melakukan penyelaman selama lebih satu jam.
Memetik laporan Berita Harian, pihak polis juga membawa suspek ke lokasi berkenaan untuk melakukan proses pengecaman telefon pintar mangsa.
Polis masih cari bahan bukti lain seperti rantai milik mangsa
Pada ketika ini, pihak polis masih lagi meneruskan proses mencari bahan bukti lain seperti rantai milik Nur Farah Kartini yang dipercayai bukti penting dalam kes terbabit.
Isnin lalu (15 Julai), mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berusia 25 tahun itu dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada jam sekitar 6 petang selepas enam hari mangsa dilaporkan hilang.
Penemuan mayat mangsa itu sekali gus membawa kepada tangkapan pihak polis terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun.
Polis sahkan suspek seorang anggota polis kontinjen Perak
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan mengesahkan suspek yang ditahan merupakan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris juga mengesahkan perkara sama dan memaklumkan suspek sudah lima tahun berkhidmat bersama PDRM.
“Dia merupakan seorang anggota berpangkat lans koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim,” kata Azizi.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai
Untuk info, Nur Farah Kartini mula dilaporkan hilang pada Rabu minggu lalu (10 Julai) selepas dia menghantar kereta kepada pelanggan.
Kehilangan Nur Farah Kartini juga tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai selepas rakan-rakan mangsa menyebarkan tentang berita itu.
Memetik Sinar Harian, jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini dijangka dikebumikan di Pekan, Pahang.
Menurut abang mangsa, Mohd. Fariza Amir Abdullah, butiran lokasi sebenar akan dimaklumkan kelak.
Baca Artikel Berkaitan: PDRM Sahkan Suspek Kes Bunuh Nur Farah Kartini Anggota Polis Di Perak
Baca Artikel Berkaitan: