Dewan Rakyat Lulus Usul Gantung Wan Fayhsal 6 Bulan Dari Sidang Parlimen [Video]
Usul menggantung Wan Fayhsal dibuat melalui undi belah bahagi yang menyaksikan 110 Ahli Parlimen menyokong dan 63 tidak bersetuju.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (18 Julai), Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari sidang Parlimen selama enam bulan.
Ahli Parlimen Machang dari Perikatan Nasional (PN) itu digantung susulan kenyataannya berhubung dalang pengambilalihan Malaysia Airports Holdins Berhad (MAHB) pada 1 Julai lalu.
110 Ahli Parlimen sokong Wan Fayhsal digantung, 63 tidak bersetuju
Memetik FMT, usul menggantung Wan Fayhsal dibuat melalui undi belah bahagi yang menyaksikan 110 Ahli Parlimen menyokong, 63 tidak bersetuju, tiga tidak mengundi, manakala 46 yang lain tidak hadir.
Sebelum keputusan penggantungan itu dibuat, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul telah membenarkan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan Mohd Azli Yusof (PH-Shah Alam) untuk berbahas.
Dewan Rakyat pandang serius isu kenyataan Wan Fayhsal tentang dalang pengambilalihan MAHB
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said semasa membentangkan usul itu berkata, Dewan Rakyat memandang serius perkara itu.
Menurutnya, Wan Fayhsal memberi kenyataan berhubung surat layang yang telah tular dan didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan MAHB.
Jelasnya, Wan Fayhsal semasa membahaskan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan Tahun 2022 telah menamakan seorang pegawai dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai dalang.
Kenyataan Wan Fayhsal beri kesan buruk
Menurutnya lagi, perbuatan itu telah memberi kesan buruk bukan sahaja kepada individu yang didakwa tetapi secara umumnya kepada semua pegawai agensi di bawah kementerian yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.
“Dalam perbahasan Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat siapa-siapa pegawai kerajaan selain kelakuan pada menjalankan urusannya sebagai pegawai kerajaan.
“Bahawa dakwaan Machang adalah satu perbuatan seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai-pegawai agensi di bawah kementerian yang telah bertungkus lumus dalam membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Fayhsal menyifatkan apa yang dihadapinya pada ketika ini adalah satu titik hitam dalam demokrasi berparlimen negara.
Malah, dia mendakwa tidak diberi peluang untuk mempertahankan dirinya di dalam Dewan Rakyat.
“Kesan daripada penggantungan ini ialah saya akan terlepas berbahas Belanjawan 2025 dalam sidang Oktober nanti. Insya-Allah rakan-rakan seperjuangan saya akan terus berjuang dan bersuara demi kepentingan rakyat di Dewan Yang Mulia ini,” kata Wan Fayhsal.