“Hari-hari Isterinya Menangis, Tolonglah Faham” – Abang Ipar Suspek Kes Bunuh Nur Farah Kartini
Menurut abang ipar suspek, adiknya itu kini tidak boleh ditinggalkan berseorangan dan perlu ditemani oleh ahli keluarga sepanjang masa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Kebelakangan ini, berita mengenai kematian Nur Farah Kartini Abdullah yang disyaki dibunuh oleh seorang suspek yang juga merupakan anggota polis berpangkat lans koperal sedang hangat diperkatakan di media sosial.
Tidak hanya itu, pelbagai spekulasi juga diberikan berkaitan mangsa dan suspek oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.
Perkara itu sekali gus memberi kesan terhadap ahli keluarga kedua-dua belah pihak termasuk isteri suspek.
Abang ipar suspek minta orang ramai faham situasi dilalui adiknya ketika ini
Susulan itu, abang ipar suspek meminta orang ramai agar memahami situasi yang dilalui oleh adiknya (isteri suspek) pada ketika ini selain memberi sokongan kepada wanita itu.
“Emosi isteri dia sangat terganggu dengan kata-kata masyarakat, dia menangis sampai tidak boleh bekerja jadi harap orang ramai faham. Tolonglah bantu adik saya, biar polis sahaja yang siasat,” katanya dipetik Kosmo.
Isteri suspek perlukan semangat dan sokongan
Menurutnya, isteri suspek yang berusia 25 tahun itu sangat memerlukan semangat dan sokongan bagi menghadapi ujian berat itu bersama anaknya yang masih berusia lapan bulan.
“Keadaan emosi adik (isteri suspek) sekarang ini sangat terganggu, memang tidak stabil kerana sebagai isteri dia sendiri pun sukar untuk percaya apa yang terjadi kerana sejak mereka berkahwin lima tahun lalu suaminya baik dan suka membantu orang.
“Saya sebagai abang hanya mampu bagi semangat. Orang luar tidak berada di tempat kami, tak tahu bagaimana sakitnya emosi kami. Sebaiknya berilah sokongan kepada ahli keluarga, biarlah polis yang melakukan siasatan,” katanya.
Isteri suspek kini tidak boleh ditinggalkan berseorangan, perlu ditemani ahli keluarga
Menurutnya lagi, adiknya itu kini tidak boleh ditinggalkan berseorangan dan perlu ditemani oleh ahli keluarga sepanjang masa.
“Pegawai kaunseling meminta kami untuk sentiasa berada di samping adik kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
“Kami juga perlu memastikan dia menjauhi platform media sosial bagi mengelakkan keadaan mental dan emosinya bertambah buruk apabila membaca pelbagai andaian netizen berkaitan kes ini,” katanya lagi.
Mayar Nur Farah Kartini ditemui pada 15 Julai lalu
Terdahulu, Nur Farah Kartini, 25, ditemui meninggal dunia pada 15 Julai lalu di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada jam sekitar 6 petang selepas enam hari dilaporkan hilang.
Penemuan mayat mangsa itu sekali gus membawa kepada tangkapan pihak polis terhadap seorang lelaki berusia 26 tahun.
Nur Farah Kartini mula hilang sejak 10 Julai selepas hantar kereta kepada pelanggan
Untuk info, Nur Farah Kartini mula dilaporkan hilang pada Rabu minggu lalu (10 Julai) selepas dia menghantar kereta kepada pelanggan.
Kehilangan Nur Farah Kartini juga tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai selepas rakan-rakan mangsa menyebarkan tentang berita itu.
Dalam satu perkembangan berbeza, hasil ujian DNA yang dilakukan baru-baru ini berjaya mengesahkan bahawa mayat yang dijumpai itu merupakan Nur Farah Kartini dan jenazah akan dikebumikan di Pekan, Pahang petang ini.
Kakak Ipar Farah telah mengesahkan result DNA sudah keluar.
— B 🇵🇸 (@puterizaira) July 18, 2024
Mohon doakan Nur Farah Kartini ditempatkan di kalangan orang beriman. Moga dipermudahkan urusan faa, semoga tabah buat keluarga faa. pic.twitter.com/Wjwh0Wa44D
Baca Artikel Berkaitan: Dia Seorang Anak Yang Baik & Bertanggungjawab, Kata Bapa Suspek Kes Bunuh Nur Farah Kartini
Baca Artikel Berkaitan: Polis Berjaya Temui Telefon Pintar Dipercayai Milik Nur Farah Kartini Dalam Parit