Najib Masih Belum Bayar Cukai Pendapatan RM1.69 Bilion Kepada LHDN – MOF
Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkannya untuk membayar tunggakan cukai itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih belum melunaskan bayaran cukai pendapatannya yang hampir mencecah RM1.7 bilion.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), perkara itu belum diselesaikan secara muktamad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengambil tindakan sewajarnya.
“Prosiding masih diteruskan dan perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 29 Julai 2024 di Mahkamah Tinggi Insolvensi di Kuala Lumpur,” kata kementerian itu dipetik Berita Harian.
MOF berkata demikian dalam jawapan bertulis Parlimen selepas diajukan soalan mengenai perkara terbabit oleh Ahli Parlimen Jelutong dari Pakatan Harapan (PH), RSN Rayer.
MP Jelutong persoal Najib dah bayar atau belum cukai pendapatan hampir RM7.9 bilion
Sebelum ini, Rayer meminta Menteri Kewangan menyatakan sama ada Najib sudah menjelaskan tunggakan cukai pendapatan sebanyak hampir RM1.7 bilion yang terhutang kepada LHDN.
Pada 16 Oktober 2023, Mahkamah Persekutuan memutuskan bekas Ahli Parlimen Pekan itu mesti menjelaskan RM1.69 bilion cukai yang belum dibayar, selepas menolak rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya.
Kerajaan melalui LHDN failkan saman terhadap Najib pada 2019
Kerajaan melalui LHDN telah memfailkan saman terhadap Najib pada 25 Jun 2019 dengan meminta beliau menjelaskan cukai belum dibayar bersama faedah 5% setahun dari tarikh penghakiman, serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh kerajaan.
Pada Julai 2020, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman ringkas dimasukkan terhadap Najib dalam samannya untuk mendapatkan semula RM1.69 bilion cukai daripada LHDN bagi tempoh antara 2011 dan 2017.
Untuk info, selain Najib, anaknya juga, Datuk Mohd Nazifuddin turut diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan untuk membayar RM1.7 bilion tunggakan cukai berkenaan kepada LHDN.