Video George Town Festival 2024: Jangan Jadikan Ia Satu Isu Perkauman – Timbalan Menteri Komunikasi
Menurut Teo, masyarakat khususnya pengguna media sosial berhak bersuara dalam menyatakan pendapat dan rasa ketidakpuasan hati mereka berhubung isu berkenaan namun tidak boleh terlalu keterlaluan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai video promosi Georgetown Festival 2024. Ia berikutan dakwaan berhubung tiada elemen budaya masyarakat Melayu yang ditonjolkan dalam video tersebut.
Keadaan itu nyata mencetuskan perdebatan dan kemarahan orang ramai khususnya masyarakat Melayu di Pulau Pinang.
Pun begitu, pihak George Town Festival dalam satu kenyataan pada Selasa (16 Julai) lalu, telah membuat permohonan maaf malah turut menurunkan video tersebut di kesemua platform.
Namun, permohonan itu disifatkan oleh segelintir pihak sebagai satu kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
Malah, Ahli Parlimen Bukit Bendera dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) turut mengkritik permohonan maaf itu yang disifatkannya sebagai tidak bersungguh.
Mohon Jangan Jadikan Video Sebagai Isu Perkauman
Terbaharu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menasihatkan semua pihak agar tidak menjadikan video promosi George Town Festival 2024 itu sebagai satu isu perkauman.
Menurut Teo, masyarakat khususnya pengguna media sosial berhak bersuara dalam menyatakan pendapat dan rasa ketidakpuasan hati mereka berhubung isu berkenaan namun tidak boleh terlalu keterlaluan.
Jelas Teo, perbuatan sebegitu hanya akan mengeruh dan boleh menyebabkan berlakunya ketegangan kaum.
“Seperti apa yang kami selalu tegaskan, rakyat jelata mempunyai hak untuk mengkritik sesuatu isu tetapi jangan sampai tahap yang melampau.
“Sebagai rakyat Malaysia, mereka mempunyai hak untuk memberi komen, tetapi janganlah sampai mengambil peluang ini untuk menjadikannya satu isu perkauman,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Nasihat Pihak Penganjur Lebih Peka
Pada masa yang sama, Teo menasihatkan semua pihak khususnya pihak penganjur agar lebih peka dalam mengeluarkan kandungan sesebuah program terutamanya yang melibatkan kemajmukan kaum bagi mengelakkan daripada berlakunya isu sensitif.
“Mungkin kesilapan berlaku di pihak penganjur tetapi jangan sampai tahap menjadi isu perkauman yang tidak betul, jadilah seorang netizen yang bertanggungjawab dan jangan salah guna kemudahan disediakan.
“Saya harap penganjur dapat belajar daripada kesilapan ini, kita sebagai rakyat Malaysia patut bangga dengan kepelbagaian bangsa dan sangat penting untuk meraikan kepelbagaian antara kaum,” jelasnya lagi.
Teo turut mendedahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sehingga kini tidak menerima sebarang aduan mengenai komen jelik yang membabitkan elemen 3R (raja, bangsa, agama) berkaitan polemik video tersebut.
Terdahulu, video promosi George Town Festival 2024 bertajuk Here and Now itu menjadi kritikan beberapa individu dan pertubuhan antaranya seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang dan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) yang mendakwa tiada elemen masyarakat Melayu ditonjolkan dalam video tersebut.
Malah, sumber dalaman DAP menyifatkan video bertajuk Here and Now itu sebagai bukti kejahilan dan kurangnya usaha oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Wong Hon Wai.
Baca Artikel Berkaitan: Dikritik Tidak Tonjolkan Budaya Melayu, Pihak George Town Festival 2024 Mohon Maaf & Turunkan Video Promosi
Baca Artikel Berkaitan: Video George Town Festival 2024 Bukti Kejahilan & Kurangnya Usaha Exco Pelancongan Negeri – Sumber DAP