
Meta Mohon Maaf Atas Kesilapan Terjemahan Posting RTM Di Facebook Berhubung Pertabalan Agong
Meta memohon maaf kepada RTM atas kesilapan terjemahan posting di Facebook sempena pertabalan YDPA.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Meta Platforms Inc (Meta) sebentar tadi (22 Julai) memohon maaf atas kesilapan terjemahan posting Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Facebook berhubung pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.
Pengarah Dasar Awam Meta di Asia Tenggara, Rafael Frankel berkata pihaknya dimaklumkan tentang kesilapan dalam terjemahan automatik dari Bahasa Melayu ke Inggeris itu hingga memberikan kesan kepada posting sempena istiadat tersebut.
“Kami telah menyelesaikan kesilapan teknikal ini. Kami sangat menghormati kerabat diraja Malaysia,” kata Meta dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.
Dalam hantaran sama, Meta turut memohon maaf kepada Majlis Negeri Johor atas kesilapan sama membabitkan ucapan ulang tahun Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Junjung kasih jadi ‘takziah’
Terdahulu tular di media sosial tangkap layar posting RTM dalam bahasa Inggeris yang tertera perkataan ‘condolences’ atau takziah sempena pertabalan Sultan Ibrahim.

RTM kemudiannya tampil menjelaskan bahawa teks tersebut adalah terjemahan secara automatik yang dilakukan oleh Facebook daripada catatan asal yang ditulis menggunakan bahasa Melayu.
Di dalam teks asal, RTM telah menulis perkataan yang tertera ‘junjung kasih’ namun teks tersebut telah ditukar secara automatik menjadi ‘condolences’.
“Junjung kasih kepada Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang telah memberikan kepercayaan dan penghormatan kepada Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong ke-17,” tulis hantaran asal itu.
Sehubungan itu RTM menegaskan mereka tidak memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris.

Malah RTM telah membuat laporan polis dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menghubungi META berkaitan terjemahan yang salah itu.