Rusuhan Di Bangladesh: 124 Pelajar Dibawa Pulang Ke Malaysia Esok
Menurut TokMat rakyat Malaysia termasuk 124 pelajar yang berada di Bangladesh akan dibawa pulang esok.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung insiden tegang yang sedang berlaku di Bangladesh apabila ramai pelajar di universitinya menunjukkan tanda protes sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan.
Perkara itu difahamkan susulan pelajar membantah isu kuota dalam pekerjaan sektor kerajaan. Namun keadaan rusuhan semakin meruncing selepas pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
Walau bagaimanapun, perkara ini secara tidak langsung turut membimbangkan orang ramai mengenai pelajar-pelajar Malaysia yang berada di negara terbabit.
Semalam (23 Julai), Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan pelajar negara ini (Malaysia) telah dipindahkan ke bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Dalam pada itu, seorang pengguna X yang dikenali sebagai @akmalazizan8 memaklumkan misi memindahkan pelajar dari Mymensingh ke Dhaka akan bermula pada 23 Julai seawal jam 4 pagi.
Baca artikel berkaitan: Rusuhan Di Bangladesh: Tular Dakwaan Ada Pelajar Malaysia Yang Masih Belum Dipindahkan Ke Kedutaan
Baca artikel berkaitan: Dari Protes Mahasiswa Menjadi Rusuhan, Apa Sebenarnya Yang Berlaku Di Bangladesh?
124 pelajar Malaysia akan dibawa pulang ke tanah air esok
Terbaharu, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan memaklumkan kerajaan telah mengaktifkan pelan evakuasi (membawa keluar) bagi membawa rakyat Malaysia di Dhaka, Bangladesh termasuk 124 pelajar pulang ke tanah air.
Menurut laporan Sinar Harian, Mohamad Hasan yang juga dipanggil TokMat menjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memberikan kelulusan agar perancangan membawa rakyat Malaysia pulang disegerakan.
Penerbangan khas menggunakan pesawat AirAsia Airbus A330 yang akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka jam 10 pagi esok (23 Julai).
“Pesawat akan berlepas pulang pada hari sama sebaik sahaja urusan penerbangan selesai,” jelasnya.
Seorang pelajar tak dibawa pulang kerana jauh dari tempat rusuhan
Menurut beliau lagi keseluruhan pelajar yang berada di negara tersebut adalah 139, 15 darinya sudah selamat pulang ke tanah air dan menjadikan jumlah seramai 124 pelajar.
“Setakat hari ini seramai 124 pelajar yang masih berada di sana cuma, seorang pelajar di Chittagong Medical College tidak akan dibawa pulang kerana berada jauh dari tempat rusuhan dan Konsul Terhormat telah memberi jaminan keselamatan terhadapnya.”
Selain itu, beliau turut menyatakan seramai 192 rakyat Malaysia sudah berdaftar dengan STM Dhaka dan dijangka angka tersebut akan semakin bertambah kerana difahamkan ada yang belum berdaftar.
“Kami juga baru menerima makluman seramai 10 orang rakyat kita yang bekerja sebagai juruterbang bersama keluarga mereka berada di negara itu memohon untuk kembali ke tanah air dalam pelan evakuasi ini.
“Kita jangka bilangan rakyat Malaysia yang menyertai pelan evakuasi ini akan bertambah pada saat akhir,” ujarnya lagi.
Minta orang ramai bertenang, nafi dakwaan Wisma Putra lambat bertindak
Beliau dalam masa sama turut meminta orang ramai untuk bertenang serta tidak menokok nambah kepada usaha kerajaan dalam membawa rakyat pulang ke tanah air.
Malah beliau juga menjelaskan Wisma Putra juga sudah berhubung dengan STM Dhaka sejak hari pertama berlakunya rusuhan bagi mendapatkan maklumat terkini.
Selain itu beliau turut menafikan dakwaan Wisma Putra lambat bertindak.
“Semuanya di bawah pengawasan pihak kedutaan dan makanan juga telah sampai kepada pelajar pada pagi ini.”