fbpx
Now Reading
Kanak-kanak Perempuan Hilang Di Johor, Albertine Leo Ditemui Selamat Di Batang Kali

Kanak-kanak Perempuan Hilang Di Johor, Albertine Leo Ditemui Selamat Di Batang Kali

Mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan telah dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kanak-kanak berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui, telah dilaporkan hilang sejak Sabtu (20 Julai) lalu.

Pada awal pagi ini (23 Julai), mangsa telah diselamatkan dan suspek telah ditangkap di Batang Kali, Kuala Kubu Bahru Selangor.

“Mangsa dalam keadaan selamat dan suspek telah dibawa ke Johor untuk siasatan lanjut,” kata Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.

Mangsa Ditemui Jam 4 Pagi Tadi

Menerusi sidang media di Facebook Polis Johor, Kumar berkata tangkapan yang dilakukan sekitar jam 4 pagi tadi melibatkan seorang lelaki tempatan.

Lelaki berusia 31 tahun itu juga tidak mempunyai sebarang hubungan persaudaraan dengan mangsa.

Kumar menjelaskan bahawa tiada sebarang panggilan telefon bagi meminta pampasan diterima oleh pihak keluarga mangsa sebelum ini.

Kes Turut Disiasat Di Bawah Akta Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017

Selain Seksyen 365 Kanun Keseksaan, kes turut disiasat di bawah Seksyen 14(A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Kumar menjelaskan ini kerana mungkin berlakunya sentuhan yang tidak dibenarkan ke atas kanak-kanak.

Kumar memaklumkan bahawa mangsa dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan fizikal dilaporkan, namun telah dihantar ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Mangsa Ditemui Bersama Suspek Di Sebuah Hotel Murah

Tambah Kumar, mangsa telah ditemui bersama dengan suspek di sebuah premis atau hotel murah. Pihak polis turut merampas sebuah kereta yang digunakan suspek bagi melarikan mangsa.

Selain daripada tiga tangkapan semalam, polis turut menahan seorang lagi individu wanita pada lewat malam bagi membantu siasatan. Ini menjadikan keseluruhan individu ditahan seramai lima orang, kesemuanya dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun.

Empat individu telah direman, manakala suspek bakal direman pada petang ini (23 Julai).

“Ini merupakan hasil maklumat daripada orang awam dan usaha pasukan PDRM. Dalam proses mengesan dan menyelamatkan mangsa, kesemua elemen PDRM telah digerakkan,” kata Kumar.

Info Palsu Mengganggu Siasatan Polis

Dalam pada itu, Kumar turut menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa krompomi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu dan mengganggu siasatan.

“Sebaik kes ini viral, banyak panggilan telah diterima oleh keluarga mangsa kononnya mangsa telah diterima di tempat A, di tempat B, dan ia telah disalurkan kepada pihak polis. Perkara ini boleh menganggu pihak polis untuk melakukan sesiatan,” katanya.

Pihak polis juga berharap orang ramai tidak melakukan sebarang spekulasi terhadap kes ini.

3 Individu Ditahan Di Sekitar Iskandar Puteri & Gelang Patah

Polis Johor sebelum ini telah menahan tiga orang individu warganegara bagi membantu siasatan.

Mereka telah ditahan di sekitar kawasan Iskandar Puteri dan Gelang Patah kira-kira 1.30 tengahari semalam (22 Julai).

Jelas Kumar, mereka terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 28 dan 55 tahun. Ketiga-tiga individu akan direman hari ini di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Kanak-Kanak Hilang Di Festival Bon Odori

Terdahulu, Albertine dilaporkan hilang pada 8.30 malam Sabtu ketika festival Bon Odori yang berlangsung di Eco Galleria.

Kanak-kanak dengan ketinggian kira-kira 120 cm dan berambut panjang itu, dilihat memakai t-shirt berwarna putih dengan gambar Mickey Mouse pada kali terakhir.

Dia dilaporkan sedang bermain berhampiran gerai yang dikendalikan oleh ibu bapanya sebelum hilang. Berikutan kehilangannya, pihak polis segera menggerakkan unit K9 bagi mengesan Albertine.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.