fbpx
Now Reading
Kes Bunuh Zulfarhan, 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung

Kes Bunuh Zulfarhan, 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung

Hukuman terbabit diputuskan panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang sebulat suara mengembalikan semula pertuduhan asal iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini, 23 Julai menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana didapati membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.

Hukuman terbabit diputuskan selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, secara sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan asal bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Enam tertuduh terbabit yang kini berusia 28 tahun terdiri daripada:

  • Muhammad Akmal Zuhairi Azmal
  • Muhammad Azamuddin Mad Sofi
  • Muhammad Najib Mohd Razi
  • Muhammad Afif Najmudin Azahat
  • Mohamad Shobirin Sabri
  • Abdoul Hakeem Mohd Ali.

“Mahkamah memutuskan hanya satu hukuman terhadap keenam-enam OKT iaitu mereka perlu dibawa ke suatu tempat penggantungan di mana di sana mereka akan digantung sampai mati.

“Rayuan pendakwaan dibenarkan, hukuman penjara selama 18 tahun ditolak,” kata Hadhariah.

Jenayah kejam yang jarang ditemui- Mahkamah Rayuan

Menurut Hadhariah lagi, panel hakim bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa perbuatan dan cara membunuh itu bukan sahaja mengejutkan kehakiman, bahkan hati nurani masyarakat.

Malah Mahkamah Rayuan menyifatkan kes pembunuhan tersebut sebagai jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui.

“Ibu bapa mana tidak merasa kecewa, marah, sedih dan menangisi pemergian anak kesayangan mereka apabila mayat simati dikembalikan ke pangkuan untuk dikebumikan dalam keadaan yang cukup memilukan dan menyayat hati. Benar kata pepatah ‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’.

“Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hancurnya dan luluhnya hati dan perasaan mereka apabila melihat keadaan anak mereka diperlakukan sebegini rupa oleh keenam-enam tertuduh ini seolah-olah tubuh badan simati ini tidak sedikit pun mempunyai nilai di kaca mata mereka sehingga mereka tergamak menyeksa dan berbuat kezaliman seperti ini.

“Mahkamah tidak akan bertoleransi dalam kejadian sebegini. Ibu bapa mana yang sanggup menanggung derita melihat anak kesayangan mereka diseksa sebegini rupa sehingga membawa kepada kematian simati di dalam keadaan yang sungguh mengerikan,” katanya.

Selain Hadhariah, dua lagi hakim yang turut bersidang adalah Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Hadhariah ketika membaca keputusan penghakiman berkata, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf apabila meminda pertuduhan dihadapi kesemua tertuduh daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Mahkamah Tinggi pada November 2021 menjatuhi hukuman penjara 18 tahun terhadap keenam-enam tertuduh kerana menyebabkan kematian tanpa niat terhadap arwah Zulfarhan Osman mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Namun sekitar Mei lalu, pihak pendakwaaan ketika berhujah berkata, tindakan keenam-enam tertuduh mendera sehingga mengakibatkan 80% badan Zulfarhan melecur adalah satu perbuatan melampau.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai, ada keterangan menunjukkan seorang dari mereka yang telah mengarahkan lima lagi bekas penuntut untuk bergilir-gilir menekap seterika pada anggota badan Allahyarham Zulfarhan mengakibatkan mangsa mengalami 90 kesan lecur yang menyebabkan kematiannya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.