Kes Kehilangan Albertine Diklasifikasi Sebagai Culik, 3 Individu Ditahan
Menurut Ketua Polis Johor, tiga individu yang terdiri daripada dua orang lelaki dan seorang wanita itu ditahan polis pada jam 1.30 petang semalam (22 Julai) di sekitar Gelang Patah, Johor.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak Ahad (21 Julai) yang lalu, kecoh di media sosial berita mengenai kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang berumur enam tahun ketika berada di pusat beli-belah Eco Galleria 3, Taman Botani Iskandar Puteri, Johor.
Mangsa yang dikenali sebagai Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam pada Sabtu (20 Julai) lalu ketika Festival Bon Odori diadakan di pusat beli belah tersebut.
Polis kini sedang giat mengesan mangsa dan hebahan mengenainya juga telah diedarkan.
Polis Tahan 3 Individu Bagi Bantu Siasatan
Terbaharu, polis telah menahan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan Albertine.
Menurut Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar, tiga individu yang terdiri daripada dua orang lelaki dan seorang wanita itu ditahan polis pada jam 1.30 petang semalam (22 Julai) di sekitar Gelang Patah, Johor.
“Tangkapan telah dibuat terhadap dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 28 hingga 55 tahun bagi membantu siasatan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Kes Diklasifikasikan Semula Sebagai Kes Culik
Tambah Kumar, kes Albertine kini telah diklasifikasikan semula daripada kes orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
“Polis Johor mengesahkan bahawa kita telah mengklasifikasikan semula laporan polis yang diterima mengenai kes kehilangan itu kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah,” katanya.
Polis kini masih lagi sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Ketiga-tiga individu itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pukul 8 pagi hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman. Walau bagaimanapun, Albertine masih belum ditemui.
Mohon Kerjasama Orang Ramai Tidak Buat Spekulasi
Kumar turut memohon kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan untuk mengelakkan daripada menganggu siasatan.
Namun, dia meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden tersebut untuk menyalurkannya menerusi talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau talian bilik gerakan 07-2212999.
KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS JOHOR KENYATAAN MEDIA KETUA POLIS JOHOR BERKAITAN PERKEMBANGAN SIASATAN KES KANAK-KANAK…
Posted by Polis Johor on Monday 22 July 2024
Terdahulu, Albertine disedari hilang oleh bapanya yang juga merupakan seorang peniaga di festival berkenaan pada Sabtu (20 Julai) lalu.
Pada ketika itu, Albertine yang berkulit cerah dan berambut panjang dilaporkan memakai baju T-shirt putih bergambar Mickey Mouse di bahagaian dada serta berseluar pendek.
NUR ALERT: HEBAHAN KANAK-KANAK HILANG Mohon bantuan untuk kongsikan posting ini. Bantu kami kesan adik Albertine Leo Jia Hui. #PolisDirajaMalaysia #RoyalMalaysiaPolice #PDRM #RMP #NurAlert
Posted by Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) on Sunday 21 July 2024