fbpx

“Syarikat Arak Taja Sekolah Cina Bukan Baharu, Akan Jelaskan Pada Jemaah Menteri Esok” – Anthony Loke

Dia juga berkata bahawa program sedemikian kebiasaannya dijalankan di luar sekolah dan dengan tujuan untuk mengumpul dana bagi membangunkan sekolah.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata dia akan membawa isu pemberian sumbangan dan tajaan oleh syarikat minuman keras kepada sekolah-sekolah Cina ke mesyuarat Jemaah Menteri esok (24 Julai).

Tambahnya lagi, pengumpulan dana di sekolah-sekolah Cina yang melibatkan syarikat minuman keras telah berlaku sejak berpuluh tahun lalu dan tidak seharusnya dijadikan isu.

“Syarikat minuman keras telah menganjurkan program mengumpul dana untuk sekolah-sekolah Cina sejak 30 tahun lalu dan saya juga ada menghadirinya.

“Selama ini tidak pernah timbul sebarang masalah, kenapa sekarang baharu nak jadikan isu? Ini sesuatu yang mesti kita faham bahawa ini bukan perkara baharu,” katanya dipetik Sinar Harian.

Progam Amal Untuk Kumpul Dana Bangunkan Sekolah

Loke berkata dia akan menjelaskan kepada Jemaah Menteri ketika mesyuarat Kabinet esok bahawa terdapat penganjuran program amal oleh syarikat-syarikat korporat minuman keras dalam kalangan masyarakat Cina khususnya.

Dia berkata demikian setelah merasmikan program TVET Permotoran@Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin, Seremban hari ini (23 Julai).

Dia yang juga merupakan Menteri Pengangkutan, menjelaskan bahawa program sedemikian kebiasaannya dijalankan di luar sekolah dan dengan tujuan untuk mengumpul dana bagi membangunkan sekolah.

Sekolah Perlu Ikut Garis Panduan KPM

Terdahulu, kontroversi tercetus apabila media melaporkan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang, Selangor menganjurkan konsert amal yang melibatkan penyumbang dari syarikat minuman keras.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius terhadap perkara itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

Dalam masa sama, KPM mengingatkan pentadbir institusi pendidikan di bawahnya agar mematuhi garis panduan dalam menganjurkan program dan menerima sumbangan.

Sumbangan Di Sekolah Hasil Aktiviti Rokok, Dadah & Minuman Keras Dilarang

Tambah KPM lagi, penganjuran program bagi mengumpul dana perlu dilaksanakan berdasar kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 Tahun 2018.

“Ia melarang sumbangan yang melibatkan hasil aktiviti perjudian, rokok, dadah, minuman keras dan seumpamanya yang boleh menjejaskan perkembangan potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani,” jelas kenyataan itu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.