“Kami Sangat Takut” – Pelajar Malaysia Kongsi Situasi Sebenar Berlaku Di Bangladesh
Menurut Haziq yang merupakan pelajar perubatan di Bangladesh terdapat ramai yang terbunuh dan situasi itu membuatkan mereka sangat takut.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum pasti mengetahui semalam (23 Julai) seramai 123 rakyat Malaysia termasuk 80 pelajar telah selamat tiba di tanah air dari Bangladesh.
Kepulangan mereka pasti melegakan ahli keluarga dan kenalan yang bimbang akan keadaan mereka memandangkan Bangladesh ketika ini sedang berdepan rusuhan melibatkan mahasiswa dan kerajaan.
Kesemua mereka tiba di Kuala Lumpur menerusi penerbangan khas menggunakan pesawat AirAsia AK0076 atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlepas dari Dhaka.
Baca artikel berkaitan: Rusuhan Di Bangladesh: 124 Pelajar Dibawa Pulang Ke Malaysia Esok
Pelajar Malaysia sifatkan protes yang berlaku ganas dan berlaku kenaikan harga mendadak
Pelajar Malaysia yang pulang turut berkongsi keadaan yang berlaku sewaktu berada di sana di mana mereka dilaporkan mengalami perintah berkurung yang dikenakan oleh kerajaan, protes ganas serta kenaikan harga yang mendadak dan bekalan makanan yang berkurangan, lapor The Star.
Seorang pelajar perubatan Malaysia, Mohd Haziq Syahmi, 33, yang dibawa pulang ke tanah air dari Bangladesh turut menyifatkan protes yang berlaku berdekatan universitinya sangat menakutkan malah telah menyebabkan ramai terbunuh.
“Ramai yang terbunuh. Tujuh orang ditembak di kawasan saya. Kami sangat takut.
“Wang kami juga habis dengan cepat disebabkan tidak dapat mengeluarkannya dari mesin ATM. Harga makanan naik mendadak dan penduduk tempatan bercakap mengenai krisis makanan yang bakal berlaku,” ujarnya sewaktu ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Terminal 2 pada 23 Julai.
Jelasnya lagi, internet juga telah terputus sejak Khamis (18 Julai) yang lalu.
Berjaya hubungi ibu bapa selepas mendapat akses ‘roaming’
Seorang lagi pelajar yang belajar dari Mymesingh Medical College iaitu Syazanna Amira berusia 28 tahun memaklumkan selepas beberapa hari dia akhirnya dapat menghubungi ibu bapa selepas pihak telekomunikasi memberikan akses ‘roaming’ secara percuma pada hujung minggu lalu.
“Para pelajar berjaya menghubungi pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh. Sebahagian daripada kami turut meminjamkan telefon bimbit kepada rakyat Malaysia lain yang tidak melanggan kepada saluran telekomunikasi berkenaan agar dapat menghubungi keluarga mereka.
“Pihak kedutaan juga akan menghubungi kami pada setiap hari dan kami akan mengambil giliran untuk berjaga sepanjang waktu malam. Ini kerana, panggilan kebiasaannya pada waktu malam,” ujar wanita itu lagi.
Lihat banyak bas terbakar ketika ke lapangan terbang Dhaka, Rakyat Bangladesh nasihat pulang ke Malaysia
Katanya lagi dia juga ada mendengar dakwaan bahawa pasukan keselamatan di Bangladesh mengeluarkan perintah tembak kepada yang melanggar perintah berkurung.
Jelasnya lagi, dia juga melihat banyak bas terbakar sewaktu ke lapangan terbang Dhaka pada 23 Julai lepas.
“Kami melihat ramai yang membawa senjata api untuk rusuhan.
“Rakyat Bangladesh juga menasihati kami untuk pulang ke Malaysia kerana keganasan semakin teruk.
“Kami mendapat panggilan pada Isnin (22 Julai) memaklumkan kepada kami untuk bersedia dipindahkan.
“Saya berasa sangat lega apabila dapat pulang ke rumah.”
Syukur anak dipindahkan dan dapat berkomunikasi setiap hari
Seorang penjaga yang dikenali sebagai Nor Hamimi Harun ketika ditemui di lapangan terbang turut meluahkan rasa syukur apabila dua anak lelakinya iaitu Muhammad Aliff Hazim Abdul Shukor, 22 dan Muhammad Alif Haziq, 25, berjaya dipindahkan.
“Saya bersyukur saya dapat berkomunikasi dengan mereka setiap hari apabila mereka berada di Bangladesh. Namun kualiti panggilan di sana tidak berapa baik jadi saya perlu bercakap dengan perlahan agar mereka dapat mendengar saya,” katanya.
Kedua anaknya itu merupakan pelajar perubatan dan memberitahu tidak dapat ke mana-mana selepas arahan perintah berkurung dikeluarkan sejak 20 Julai lalu.
Meskipun internet di sana teruk namun mereka masih menerima arahan pemindahan dari Wisma Putra untuk meninggalkan Bangladesh dan bersyukur dengan perkara itu.
Jumlah keseluruhan yang pulang ke tanah air adalah 123 orang yang termasuk 80 pelajar. Mereka tiba di lapangan terbang terminal 2 pada jam 5 petang, semalam.
Masih ada 5 askar dan 10 juruterbang di Bangladesh kerana komitmen kerja
Menurut Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin seramai lima askar Malaysia dan 10 juruterbang masih berada di Bangladesh atas tuntutan kerja.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga hadir di lapangan terbang sewaktu rakyat Malaysia dari Bangladesh pulang turut mengatakan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara terbabit akan terus memantau perkembangan terkini.
“Rakyat Malaysia yang masih berada di sana dinasihatkan untuk sentiasa berhubung dengan pihak Suruhanjaya Tinggi,” ujarnya.
Saiffudin turut berkongsi beberapa foto sewaktu bertemu dengan rakyat Malaysia yang pulang dari Bangladesh.