Tular Dakwaan Data Pengguna Bocor Di Laman ‘Dark Web’, Ini Penjelasan Maybank
Maybank mengesahkan bahawa sistem mereka kekal selamat dan semua maklumat pelanggan dilindungi sepenuhnya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial dakwaan pangkalan data Malayan Banking Bhd (Maybank) yang mempunyai maklumat para pelanggannya telah bocor di dalam sebuah forum jaringan gelap (dark web).
Dakwaan yang tular itu sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai memandangkan syarikat perbankan terbabit mempunyai ramai pengguna.
Malah, perkara tersebut turut mendapat perhatian pakar teknologi, Pendakwah Teknologi di laman Facebook rasminya.
Maybank sahkan sistem kekal selamat dan maklumat pelanggan dilindungi
Cakna dengan perkara terbabit, Maybank hari ini (24 Julai) tampil menerusi satu bebenang di laman X rasminya untuk memperjelaskan tentang dakwaan itu.
Maybank meyakinkan pelanggannya bahawa sistem mereka kekal selamat dan semua maklumat pelanggan dilindungi sepenuhnya.
Pun begitu, syarikat perbankan itu tetap mengambil serius kebimbangan keselamatan ini dan akan terus memantau serta memastikan data mereka dilindungi pada setiap masa.
“Dengan pelbagai langkah pencegahan penipuan yang telah dilaksanakan, termasuk penggunaan ‘Secure2U’ untuk mengesahkan transaksi, dan tempoh bertenang yang diaktifkan untuk transaksi berisiko tinggi, transaksi dalam talian pelanggan kami terus dilindungi,” ciapnya.
Maybank ingatkan pelanggan untuk berwaspada dan lindungi maklumat peribadi
Maybank turut mengingati para pelanggannya untuk sentiasa berwaspada dan melindungi maklumat mereka daripada dicuri atau diambil oleh pihak yang tidak sepatutnya.
“Sila pastikan ID Pengguna, kata laluan dan butiran peribadi anda selamat dan berhati-hati dengan perisian ‘malware’, mesej WhatsApp serta laman web dan ‘pishing sites’ serta panggilan telefon yang meminta maklumat kelayakan anda,” ciapnya lagi.
Nevertheless, we take these security concerns very seriously and continue to monitor and ensure our data is protected at all times.
— Maybank (@MyMaybank) July 24, 2024
(2/4)
Untuk info, ini bukanlah kali pertama Maybank berhadapan dengan dakwaan data maklumat pelanggannya yang bocor.
Pada Disember 2022 lalu, syarikat perbankan itu pernah melakukan siasatan mengenai dakwaan kebocoran data maklumat membabitkan pihaknya yang tersebar di media sosial.
Menurut Maybank, pihaknya sentiasa komited menjaga maklumat pengguna selain menerapkan keselamatan siber dan langlah perlindungan data yang kukuh, lapor Berita Harian.