Penonton Lelaki & Wanita Di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Akan Diasingkan, Elak Percampuran Jantina
Menurut Exco Terengganu, inisiatif tersebut dilakukan bagi menangani isu percampuran bebas yang timbul ketika perlawanan separuh akhir Piala FA melibatkan Terengganu FC (TFC) dan Selangor pada minggu lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Lazimnya, sukan bola sepak amat sinonim dengan kaum Adam. Lihat sahaja pemain serta peminat yang majoritinya terdiri daripada golongan lelaki.
Namun, ada juga golongan wanita yang meminati sukan ini walaupun ia didominasi oleh golongan berlainan jantina.
Oleh sebab itu, kadang kala dapat dilihat ada sekumpulan wanita yang sanggup datang ke stadium bagi menyaksikan perlawanan kelab bola kesukaan mereka.
Namun, keadaan ini mungkin sukar bagi segelintir kaum Hawa yang terpaksa duduk dan bercampur dengan golongan lelaki.
Sediakan Kawasan Khas Khusus Buat Penonton Wanita & Keluarga
Peka dengan keadaan tersebut, Kerajaan Negeri Terengganu mengambil inisiatif untuk menyediakan satu kawasan khas khusus buat penonton wanita dan keluarga.
Ia dilakukan bagi mengelakkan percampuran antara jantina ketika menonton perlawanan bola sepak yang diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim, tempat duduk itu akan disediakan oleh pihak pengurusan stadium bermula esok (30 Julai) ketika perlawanan antara pasukan Terengganu dan Negeri Sembilan dalam Liga Super.
“Pintu khas akan diperkenalkan oleh pihak pengurusan stadium. Maklumat ini akan dihebahkan oleh pihak stadium dan TFC dalam tempoh terdekat,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tidak Halang Penonton Wanita Duduk Mana-Mana
Jelas Hishamuddin lagi, inisiatif tersebut dilakukan bagi menangani isu percampuran bebas yang timbul ketika perlawanan separuh akhir Piala FA melibatkan Terengganu FC (TFC) dan Selangor pada minggu lalu.
Tambahnya lagi, penonton wanita tidak dihalang dari memasuki mana-mana pintu atau berada di tempat duduk yang dikehendakinya.
Namun, mereka disarankan untuk berada di tempat duduk khas yang telah disediakan bagi keselesaan dan keamanan masing-masing.
“Oleh kerana sifat stadium ini terbuka, pihak penonton wanita tidak dihalang untuk memasuki dari mana-mana pintu dan boleh berada di mana-mana kawasan tempat duduk.
“Walaupun begitu, usaha memperkenalkan kawasan khas adalah satu bentuk inisiatif istimewa yang diperkenalkan buat kaum wanita dan keluarga demi keselesaan dan keamanan,” tulisnya lagi.
Tangani Isu Percampuran Bebas, Dukung Tuntutan Agama & Patuh Syariah
Hisahmuddin yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengharapkan agar usaha berkenaan mendapat sokongan daripada penonton wanita.
Ini kerana inisiatif tersebut merupakan usaha kerajaan negeri serta Kompleks Sukan Negeri Terengganu dan TFC sebagai langkah untuk memenuhi tuntutan agama.
“Pihak Kerajaan Negeri amat mengharapkan agar lokasi ini menjadi pilihan kaum wanita dan keluarga.
“Sokongan daripada kaum wanita dan keluarga akan menyemarakkan lagi usaha kita bersama untuk mendokong tuntutan beragama dan bersyariah.
“Pihak Kerajaan Negeri berharap agar usaha ini akan meminimakan percampuran lelaki dan perempuan sewaktu menonton perlawanan bola sepak.
“Kehadiran semua pihak sentiasa dialu-alukan dalam merancakkan sokongan buat pasukan Terengganu FC,” tulisnya lagi.
Sewaktu perlawanan bola sepak antara Terengganu FC vs Selangor FC sempena Separuh Akhir Piala FA, antara yang berbangkit…
Posted by Hishamuddin Abdul Karim on Sunday 28 July 2024
Baca Artikel Berkaitan: “Jaga Ikhtilat”- Pusat Beli Belah Di Kelantan Asingkan Kaunter Ikut Jantina Raih Perhatian Ramai [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Pendaki Gunung Rinjani Masih Bujang Lelaki & Wanita Tak Boleh Tidur Dalam Satu Khemah