Pekerja Di Kuala Lumpur Terima Purata Gaji Sebulan Paling Tinggi, Kelantan Terendah Di Malaysia
Mengikut penemuan Banci Ekonomi 2023, individu yang bekerja di Kuala Lumpur secara umumnya menerima purata gaji bulanan sebanyak RM4,196.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umumnya, gaji merupakan bayaran atau upah yang dibayar kepada individu bekerja atas perkhidmatan yang diberikan.
Setiap orang mempunyai gaji yang berbeza dan ianya dibayar mengikut pengalaman dan tahap seseorang dalam sesuatu pekerjaan.
Namun, gaji juga berbeza mengikut lokasi pekerjaan sama ada bandar ataupun luar bandar.
Purata Gaji Di Kuala Lumpur Paling Tinggi Di Malaysia
Berdasarkan penemuan Banci Ekonomi 2023 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kuala Lumpur menjadi bandar yang menerima purata gaji sebulan paling tinggi berbanding yang lain.
Mengikut penemuan tersebut, individu yang bekerja di Kuala Lumpur secara umumnya menerima purata gaji bulanan sebanyak RM4,196.
Ia diikuti Selangor dengan purata gaji bulanan sebanyak RM3,563 dan Pulau Pinang pula sebanyak RM3,496.
Manakala, Kelantan menjadi negeri paling rendah yang purata gaji sebulan diterima pekerja dengan jumlah sebanyak RM2,070.
Berikut kami kongsikan purata gaji sebulan mengikut negeri di Malaysia:
Negeri | Purata Gaji Sebulan (RM) |
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur | 4,196 |
Selangor | 3,563 |
Pulau Pinang | 3,496 |
Wilayah Persekutuan Labuan | 3,491 |
Melaka | 3,115 |
Sarawak | 3,077 |
Negeri Sembilan | 3,025 |
Wilayah Persekutuan Putrajaya | 2,994 |
Johor | 2,987 |
Terengganu | 2,793 |
Kedah | 2,721 |
Perak | 2,679 |
Pahang | 2,628 |
Sabah | 2,381 |
Perlis | 2,253 |
Kelantan | 2,070 |
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, Kuala Lumpur menjadi pilihan utama buat mereka yang mahu mencari peluang pekerjaan dengan gaji lebih tinggi.
Purata Gaji Sebulan Setiap Negeri Adalah Berbeza Mengikut Sektor
Hasil penemuan tersebut turut menunjukkan purata gaji sebulan setiap negeri berbeza mengikut sektor.
Jelas Mohd Uzir, pekerja yang terlibat dengan aktiviti perkhidmatan telekomunikasi dalam sektor perkhidmatan di Kuala Lumpur menerima purata gaji sebulan paling tinggi sebanyak RM9,457.
“Ia diikuti oleh pekerja dalam aktiviti pemprograman dan penyiaran RM8,629 dan perantaraan kewangan, RM6,946,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Sektor perkhidmatan di Selangor juga merekodkan purata gaji sebulan paling tinggi di mana aktiviti telekomunikasi dalam sektor perkhidmatan mencatatkan nilai gaji bulanan tertinggi sebanyak RM7,580 sebulan.
Manakala aktiviti maklumat dan pengatucaraan komputer, masing-masing merekodkan purata gaji sebulan sebanyak RM7,186 dan RM7,112.
Berbeza dengan Selangor, purata gaji sebulan di Pulau Pinang paling tinggi direkodkan dalam sektor pembuatan melalui aktiviti pembuatan produk elektrik, elektronik & optikal iaitu RM4,790 sebulan
Bilangan Pekerja Di Malaysia Meningkat
Tambah Mohd Uzir lagi, penemuan Banci Ekonomi 2023 menunjukkan bilangan pekerja bagi keseluruhan sektor di Malaysia menujukkan peningkatan sebanyak 1.8% dengan 10 juta pekerja direkodkan pada tahun 2022.
Peningkatan pekerja paling tinggi adalah sektor perkhidmatan dengan pertambahan sebanyak 5.8 juta orang atau 2.8%.
Manakala sektor pembuatan merekodkan peningkatan pekerja sebanyak 2.3 juta orang atau 1.5%.
Namun, bilangan pekerja di sektor pertanian, pembinaan serta perlombongan & pengkuarian menunjukkan penurunan.
Jumlah Gaji & Upah Turut Meningkat
Penemuan itu turut menunjukkan jumlah gaji dan upah yang dibayar kepada pekerja menunjukkan peningkatan sebanyak 5.4% setiap tahun dengan jumlah RM354.9 bilion direkodkan pada tahun 2022.
Sektor pekhidmatan mencatakan peningkatan tertinggi sebanyak RM204.4 bilion (6.5%) diikuti dengan sektor pembuatan yang meningkat sebanyak RM97.2 bilion (5.8%).
Secara keseluruhannya, purata gaji dan upah bagi kesemua sektor adalah RM3,332 pada tahun 2022 berbanding RM2,584 pada tahun 2015.
Untuk info, Banci Ekonomi 2023 merupakan banci kelima yang dijalankan sejak tahun 2001.
Ia dijalankan setiap lima tahun sekali dan merupakan penghitungan menyeluruh ‘pertubuhan-pertubuhan perniagaan’ dan ‘pertubuhan bukan berasaskan keuntungan’ yang ada di Malaysia.
Banci Ekonomi 2023 mula dijalankan pada 1 April sehingga 30 September 2023 terhadap semua pertubuhan perniagaan dan pertubuhan tidak berasaskan keuntungan pada tahun rujukan 2022 dalam lima sektor utama iaitu pertanian, perlombongan & pengkuarian, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan.
Baca Artikel Berkaitan: Hanya RM1,530 Sebulan, Alor Setar Bandar Utama di Malaysia Dengan Kos Sara Hidup Paling Rendah
Baca Artikel Berkaitan: ‘Bukannya RM1,500’- UNICEF Cadang Gaji Minimum RM2,102 Sebulan