fbpx
Now Reading
Jualan Aiskrim Campuran Ubat Batuk Pei Pa Koa Dilarang – KKM

Jualan Aiskrim Campuran Ubat Batuk Pei Pa Koa Dilarang – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan Seksyen 13B (2) Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sebelum ini, Inside Scoop telah memperkenalkan perisa aiskrim terbaru dikenali sebagai Pei Pa Koa iaitu gabungan rasa vanila dan juga Ubat Cap Ibu Dan Anak yang legend di Malaysia atau nama sebenarnya Nin Jiom Pei Pa Koa.

Difahamkan, rasa penuh berkrim dari vanila akan diseimbangkan dengan sentuhan rasa dari ubat batuk yang diletakkan dalam picagari.

Ais krim tersebut juga telah mendapat perhatian ramai pengguna media sosial sejak ia diuar-uarkan.

Baca Artikel Berkaitan: “Zayn Malik Suka La Ni” – Inside Scoop Tampil Dengan Aiskrim Perisa Ubat Batuk. Pelik Tapi Benar


KKM Larang Premis Jual Aiskrim Campuran Ubat Batuk

Semalam (30 Julai), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan di laman X (Twitter) mengarahkan premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk aiskrim campuran ubat batuk dihentikan serta-merta bagi menjaga keselamatan pengguna.

Jelas KKM, pihak mereka ambil maklum dan memandang serius tentang penjualan ais krim berperisa Pei Pa Koa. Semakan terhadap aktiviti penjualan tersebut di premis yang tular baru-baru ini mendapati aiskrim berkenaan disediakan bersama picagari yang berisi ubat batuk Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak).

“Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) merupakan produk berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, KKM di bawah kategori tradisional dengan nombor pendaftaran MAL06061564T.

“Ia digunakan untuk melegakan sakit tekak dan batuk yang mana kontraindikasi bagi wanita hamil seperti yang dinyatakan pada label.

“Di bawah Seksyen 13B (2), Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan. Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” jelas KKM lagi.


Semua Penyiaran Iklan Perlu Dihentikan

Justeru, semua premis yang menjalankan aktiviti penjualan produk tersebut diarahkan untuk mengentikan penjualan serta-merta.

Sementara itu, semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial juga perlu menghentikan penyiaran iklan makanan itu.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan sentiasa berhati-hati dalam membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan yang tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” tambah KKM.

KKM dalam masa sama meminta orang ramai menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman web Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) bagi mendapatkan maklumat tentang isu keselamatan makanan.


Inside Scoop Mohon Maaf Atas Segala Kesulitan

Inside Scoop menerusi perkongsian di laman Facebook berkata penjualan aiskrim perisa Pei Pa Koa akan dihentikan serta-merta atas arahan KKM dan meminta maaf atas kesulitan yang berlaku.

Premis makanan itu berkata pelanggan yang telah memesan aiskrim berkenaan atas talian boleh meminta pemulangan semula wang dari pihak mereka.


Aiskrim Campuran Ubat Batuk Pernah Dijual Sebelum Ini

Terdahulu, syarikat makanan lain yang bertempat di George Town, Pulau Pinang juga pernah menjual aiskrim berperisa Ubat Cap Ibu Dan Anak itu.

Ais krim yang penuh dengan rasa herba itu menyasarkan pelanggan yang sedang mengalami masalah sakit tekak. Ia dijual dengan harga RM95 untuk empat pint (bekas).

Syarikat tersebut turut berkata golongan kanak-kanak juga akan menyukai rasa unik aiskrim berkenaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.