fbpx
Now Reading
Mahkamah Putuskan Kematian Baby Syifaa Bukan Satu Kemalangan Sebaliknya Kecuaian Pengasuh

Mahkamah Putuskan Kematian Baby Syifaa Bukan Satu Kemalangan Sebaliknya Kecuaian Pengasuh

Keputusan yang dibacakan oleh Koroner, Datin Surita Budin mendedahkan kematian Baby Syifaa bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan tetapi disebabkan tergantung dalam buaian yang ditinggalkan pengasuh.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Masihkah anda ingat tentang kes kematian melibatkan seorang bayi perempuan yang dikenali sebagai Baby Syifaa?

Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa Yuseri ditemui tidak sedarkan diri ketika berada di bawah jagaan pengasuh di sebuah pusat asuhan yang terletak di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Namun, pada 30 Mac 2022, bapa bayi perempuan Yuseri Yusoff mendakwa, anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.

Mahkamah Koroner Putuskan Punca Kematian Baby Syifaa

Terbaharu, Mahkamah Koroner Seremban pada hari ini (31 Julai) memutuskan kematian Baby Syifaa adalah berpunca akibat tekanan pada leher.

Keputusan yang dibacakan oleh Koroner, Datin Surita Budin mendedahkan kematian bayi yang berusia 15 bulan itu bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan tetapi disebabkan tergantung dalam buaian yang ditinggalkan pengasuh.

“Kematiannya disebabkan akibat tekanan pada leher dan tekanan ini bersesuaian dihasilkan oleh berat badan si mati apabila lehernya tersangkut di bahagian tepi sisi hujung kain buaian.

“Bagi tujuan inkues ini saya telah berpuas hati bahawa atas imbangan kebarangkalian berdasarkan keterangan daripada saksi-saksi apabila dilihat secara keseluruhannya, untuk mahkamah memutuskan kematian si mati bukanlah satu kemalangan atau kecelakaan.

“Tetapi terdapat keterangan kukuh yang menunjukkan si mati telah tergantung di dalam buaian disebabkan tindakan atau tinggalan S19 (pengasuh) yang tinggalkannya di dalam buaian tanpa pengawasan yang sewajarnya dalam jangka masa yang munasabah,” katanya.

Jelas Surita, keadaan itu telah menyebabkan kematian bayi berkenaan yang membawa kepada satu perbuatan menyalahi undang-undang.

Pengasuh Gagal Pastikan Keselamatan Baby Syifaa

Tambah Surita lagi, saksi ke-19 iaitu pengasuh bayi berkenaan gagal memastikan keselamatan bayi perempuan itu.

Ini kerana pengasuh tersebut dalam keterangannya mengakui meninggalkan Baby Syifaa tanpa pengawasan selama dua jam.

“Kegagalan buat pengawasan dan pemantauan rapi merupakan satu kecuaian yang menyebabkan kematian si mati.

“Pengasuh juga mengakui meletakkan dan tidurkan si mati dalam buaian sedangkan mengakui penggunaan buaian di taska adalah tidak selamat dan tidak dibenarkan,” katanya lagi.

Tambah Surita, jika benar pengasuh berkenaan tidak berniat untuk menggunakan buaian tersebut, ia sepatutnya sudah lama dibuang.

Malah, buaian yang digunakan telah lusuh dan tidak berfungsi dengan baik apabila hanya menggunakan spring rosak serta diikat dengan kain lampin dan tali rafia.

Penerangan Tentang Kemungkinan Wujud Orang Ketiga Tidak Mencukupi

Namun, mahkamah mendedahkan bahawa tiada keterangan yang mencukupi bagi mengukuhkan dakwaan berhubung kemungkinan wujudnya pihak ketiga telah datang ke taska terbabit bagi menjerut atau menggantung si mati.

“Saksi ke-28 (jiran taska) tidak dapat sahkan dengan penuh keyakinan bahawa pada hari kejadian ada pihak ketiga hadir ke dalam premis menjerut atau menggantung si mati.

“Mahkamah tidak boleh buat keputusan berdasarkan spekulasi dan andaian semata-mata,” ujarnya.

Dalam prosiding berkenaan, ibu bapa Baby Syifaa diwakili oleh peguam Gaithri Thomas.

Sejak bermulanya prosiding inkues pada 22 September 2022, sebanyak 28 saksi telah dipanggil bagi memberi keterangan.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Baby Syifaa, Polis Sudah Lengkapkan Siasatan Menyeluruh

Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Tidak Benarkan Bapa ‘Baby Syifaa’ Keluar Kenyataan Di Media Sosial

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.