PMO Tuntut Penjelasan Selepas Meta Turunkan Foto Pertemuan Anwar Bersama Pemimpin Hamas
Dalam pada itu, Anwar Ibrahim turut mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan ke atas pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan bahawa hantaran gambar di Instagram Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertemu pemimpin Hamas, termasuk Ismail Haniyeh, ketika di Doha, Qatar telah diturunkan oleh Meta.
Sehubungan itu, tindakan tersebut dikecam oleh Bahagian Media & Komunikasi Strategik, PMO.
Menerusi kenyataan di Facebook, Bahagian Media & Komunikasi Strategik menjelaskan bahawa keadaan itu ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan Hamas selaku pemimpin negara itu.
Bahagian Media & Komunikasi Strategik menuntut Meta memberi penjelasan mengenai perkara itu serta mendesak mereka agar mengemukakan permohonan maaf.
Melihat pada tangkap layar yang dikongsi, Meta menjelaskan bahawa hantaran tersebut diturunkan kerana didapati mengandungi simbol, pujian atau sokongan terhadap individu dan organisasi yang ditakrifkan oleh Meta sebagai berbahaya.
Hantaran Paparkan Gambar Anwar Berjumpa Almarhum Ismail Haniyeh
Terdahulu, di dalam hantaran yang kini telah dipadam di Instagram, Anwar menyatakan bahawa beliau telah berkesempatan bertemu dengan Ketua Biro Politik Hamas, Almarhum Ismail Haniyeh dan mantan Pengerusi, Khaled Mashal ketika lawatan rasminya ke Qatar.
Beliau ketika itu telah menzahirkan ucapan takziah atas kematian ahli keluarga Ismail yang dibunuh rejim Israel. Gambar menunjukkan Anwar sedang bersalaman dengan Ismail.
Dalam hantaran sama, Anwar menyatakan bahawa Malaysia menghargai kesediaan Hamas dalam membebaskan tahanan terutamanya wanita dan kanak-kanak, di samping menerima pelan damai dunia yang dicadangkan oleh Arab, OIC dan masyarakat antarabangsa.
Beliau turut menegaskan bahawa negara mendesak Israel untuk menghentikan serangannya ke atas rakyat Palestin, membebaskan tahanannya serta menerima pelan perdamaian.
Carian kami mendapati bahawa hantaran yang sama tidak diturunkan oleh Meta dari akaun Facebook Anwar.
Ismail Haniyeh Syahid Dibunuh Israel Di Tehran, Iran
Pagi ini (31 Julai), media melaporkan kematian Ismail yang telah diserang rejim Zionis ketika di kediamannya di Tehran, Iran.
Dalam pada itu, Wisma Putra menerusi satu hantaran telah mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail. Menerusi kenyataan yang dimuat naik di media sosial, ia menggesa agar semua negara yang mencintakan keamanan turut mengecam tindakan tersebut.
Katanya lagi, Malaysia menggesa agar siasatan menyeluruh segera dilakukan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab dalam insiden ini ke muka pengadilan.
Wisma Putra turut menekankan bahawa negara akan kekal teguh bersama rakyat Palestin dan komited dalam menyokong perjuangan mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh Terbunuh Di Iran
Baca Artikel Berkaitan: Masjid JAKIM & JAWI Bakal Laksanakan Solat Jenazah Ghaib Buat Ismail Haniyeh
Anwar Ibrahim Kutuk Pembunuhan Ismail Haniyeh
Anwar turut mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ismail dan menyifatkan ia sebagai tindakan yang bertujuan untuk menggagalkan rundingan bagi menghentikan kekejaman rejim Israel ke atas Gaza.
Hanya mereka yang tiada sifat kemanusiaan sahaja yang tidak menyedari keperluan untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim biadab Zionis Israel bagi menghentikan pembantaian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Beliau juga telah berhubung dengan Ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim, terkait pembunuhan Ismail bagi menyatakan ucapan takziah.
Saya rasa perkara yang paling penting adalah untuk meneruskan perjuangan saudara Ismail sehingga rakyat Palestin mencapai kebebasan dan tertegaknya maruah, dan dengan itu mengakhiri sikap barbarik ini, bukan hanya terhadap rakyat Palestin, tetapi mereka telah melampaui batas, sama ada di Syria, Iraq, Iran dan di mana-mana sahaja.
Ahli Biro Politik Hamas, Dr Basem Naim
Anwar turut memaklumkan pada Dr Basem bahawa Malaysia akan terus mendukung perjuangan bagi kemerdekaan Palestin serta mengutuk kekejaman rejim Israel.
Dr Basem pada itu merasakan bahawa kematian Ismail bukan hanya kehilangan besar buat rakyat Palestin, tetapi juga seluruh masyarakat dunia yang bermaruah dan merdeka.