Platform Media Sosial Tiada Lesen Mulai 1 Januari 2025 Boleh Dikenakan Hukuman Penjara & Denda
Menurut Menteri Komunikasi, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan yang membolehkan kerajaan menutup platform yang tidak mempunyai lesen.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengumumkan kesemua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengikut perlu memohon lesen.
Mereka perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang akan mula berkuatkuasa mulai 1 Januari 2025.
Langkah itu susulan daripada kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan internet yang diperkenalkan pada 1 Ogos lalu.
Boleh Dikenakan Hukuman Penjara & Denda
Menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, platform media sosial yang tidak mempunyai lesen mulai 1 Januari 2025 berdepan dengan hukuman penjara atau denda sekiranya terus beroperasi di Malaysia.
Jelas Fahmi, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 mempunyai peruntukan yang membolehkan kerajaan menutup platform yang tidak mempunyai lesen.
“Pada waktu ini, yang kita tetapkan adalah tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 126 Akta Komunikasi Multimedia.
“Sekiranya didapati bersalah, penyedia perkhidmatan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 ataupun lima tahun penjara ataupun kedua-duanya.
“Mereka juga boleh dikenakan denda RM1,000 untuk setiap hari ataupun sebahagian dari hari tersebut selagi mana ‘the offence’ ataupun kesalahan itu berterusan,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Lesen Hanya Terpakai Untuk Penyedia Perkhidmatan
Fahmi yang juga merupakan jurucakap Kerajaan Perpaduan menegaskan lesen tersebut hanya terpakai buat pengendali platform dan bukan kepada pengguna atau pempengaruh.
“Ada pihak-pihak yang menyatakan pandangan yang jauh lari daripada realiti proses sebenar pelesenan. Saya ingin jelaskan ia terpakai kepada pemberi perkhidmatan sahaja, bukan kepada pengguna atau pempengaruh.
“MCMC akan terbitkan satu FAQ untuk memberi penjelasan berhubung sistem perlesenan itu,” jelasnya.
Penyedia perkhidmatan mempunyai tempoh sehingga 31 Disember 2024 bagi memohon lesen sebelum ia mula berkuatkuasa pada 1 Januari nanti.
Tujuan Pelesenan Bagi Lindungi Rakyat Malaysia
Jelas Fahmi lagi, tujuan kerajaan memperkenalkan langkah ini adalah bagi melindungi rakyat Malaysia.
“Tindakan kerajaan itu bertujuan untuk membendung penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seks terhadap kanak-kanak.
“Rakyat Malaysia juga mengalami kerugian lebih RM500 juta akibat penipuan di Facebook pada tahun lalu dan langkah itu tidak akan menjejaskan hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh perlembagaan,” katanya.
Sesi Libat Urus Bersama Ahli Parlimen & NGO
Dalam pada itu, Fahmi turut mendedahkan sesi libat urus telah diadakan bersama ahli Parlimen dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan rakyat memahami langkah tersebut yang berlandaskan perlembagaan.
“Kita nak satu suasana yang lebih baik terutama memastikan internet lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga kita,” ujarnya.
Dalam sesi libat urus tersebut, sekitar 79 badan dijemput namun hanya 27 wakil yang telah menghadirkan diri.
Antaranya adalah Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Majlis Peguam, Artikel 19, Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ), Justice for Sisters dan Legal Dignity.