fbpx

“Ia Sudah Dipersetujui” – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Jelas Isu Cuti Bersalin Pegawai Perubatan Hanya 60 Hari

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira terdapat tujuh orang Pegawai Perubatan cuti bersalin secara serentak sepanjang tempoh Jun hingga Julai 2024.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum mengetahui cuti materniti atau cuti bersalin telah dinaikkan daripada 60 hari menjadi 98 hari berkuatkuasa 1 Januari 2023 melalui pindaan Akta Kerja 1955.

Ia merupakan satu tempoh khusus buat wanita bekerja yang bakal melahirkan anak untuk pulih daripada luka bersalin serta menyesuaikan diri dengan suasana baru dengan kehadiran cahaya mata.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini timbul isu apabila cuti bersalin Pegawai Perubatan (MO) di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat ditetapkan selama 60 hari sahaja sehingga menimbulkan rasa kurang senang segelintir individu.

Tempoh 60 Hari Telah Dipersetujui

Tampil menjawab berhubung isu tular berkenaan, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan ia telah dipersetujui oleh semua ketua klinik.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira terdapat tujuh orang Pegawai Perubatan cuti bersalin secara serentak sepanjang tempoh Jun hingga Julai 2024.

Pada masa yang sama, Pegawai Perubatan yang diarah melapor diri pula telah menolak tawaran penempatan mereka di PKD Hulu Langat.

Boleh Tambah Beban Kerja Kepada Pegawai Yang Sedang Berkhidmat

Tambah Ummi Kalthom, sekiranya langkah tersebut tidak diambil, ia boleh membebankan pegawai perubatan yang sedang berkhidmat.

“Sekiranya langkah untuk mengehadkan tempoh cuti bersalin seperti yang dilaporkan tidak diambil, ia akan menambah bebanan kerja dan tekanan tambahan kepada petugas kesihatan yang berkhidmat demi memenuhi keperluan kesihatan orang ramai.

“Secara prinsipnya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan bahawa kelangsungan perkhidmatan kepada orang awam tidak terjejas.

“Ini harus dilaksanakan tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan, keselamatan pesakit dan kebajikan petugas kesihatan secara amnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Telah Dapatkan Persetujuan Daripada KKM

Jelas Ummi lagi, PKD Hulu Langat telahpun mengambil pandangan Unit Skim Saraan dan Hubungan Pekerja, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2023.

“Berdasarkan kepada Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (Kemudahan Cuti) Versi 1.0 (2022); Ceraian SR.5.4.1, kelayakan cuti bersalin adalah antara 60 hari hingga 90 hari bagi setiap kelahiran dan terdapat fleksibiliti bagi menentukan tempoh ini,” katanya.

Ekoran daripada itu, PKD Hulu Langat telahpun menetapkan cuti bersalin 60 hari bagi setiap kelahiran iaitu cuti mandatori mininum.

Walau bagaimanapun, PKD Hulu Langat tetap mempertimbangkan sekiranya terdapat permohonan tambahan tempoh cuti bersalin (case by case) dan kelulusan adalah bergantung kepada kepentingan perkhidmatan.

Malah, PKD Hulu Langat juga telah menjalankan sesi dialog bersama Pegawai Perubatan yang terlibat bagi membincangkan isu yang timbul dan memberi penerangan berkenaan situasi semasa serta penambahbaikan pada 2 Ogos yang lalu.

JKN Sedang Isi Kekosongan Jawatan

Menerusi kenyataan tersebut, Ummi menjelaskan JKN Selangor sedang mengisi kekosongan jawatan Pegawai Perubatan di PKD Hulu Langat demi kelangsungan perkhidmatan kesihatan khususnya di Daerah Hulu Langat.

Posted by Jabatan Kesihatan Negeri Selangor on Saturday 3 August 2024

Terdahulu, CodeBlue melaporkan Pegawai Perubatan di PKD Hulu Langat hanya diberi cuti bersalin selama 60 hari ekoran daripada kekurangan Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan.

Penguatkuasaan yang bermula 27 Jun dan berkuat kuasa serta merta itu melibatkan kesemua Pegawai Perubatan di 15 Klinik Kesihatan di daerah tersebut.

Walau bagaimanapun, kakitangan wanita yang sedang hamil 36 minggu atau lebih diberikan kemudahan untuk pulang satu jam lebih awal.

Laporan itu nyata menarik perhatian ramai khususnya pengguna media sosial yang simpati dengan nasib Pegawai Perubatan.

Baca Artikel Berkaitan: Majikan Tidak Boleh Berhentikan Pekerja Cuti Bersalin Atau Sakit Sebab Hamil

Baca Artikel Berkaitan: Standard Chartered Umum Cuti Pelepasan Ibu Bapa 20 Minggu, Bergaji Penuh Buat Pekerja Tanpa Kira Jantina

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.