Kerajaan Cadang Pinda Akta 333, Kenakan Tindakan Tegas Terhadap Pemandu Positif Dadah
Pada masa yang sama, Anthony Loke turut menasihatkan agar syarikat pengendali membuat saringan berkala terhadap pemandu mereka sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, media melaporkan berita mengenai satu kemalangan ngeri membabitkan sebuah treler yang merempuh sebuah rumah di Kampung Ketapang Hilir, Pekan, Pahang.
Insiden terbabit dikatakan berpunca akibat treler yang membawa muatan siling kapur dan dipandu oleh seorang lelaki hilang kawalan hingga terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh rumah tersebut.
Malah, lebih tragis apabila insiden itu menyebabkan dua penghuni rumah yang merupakan adik-beradik meninggal dunia.
Hasil siasatan mendapati pemandu treler yang berusia 40 tahun itu positif dadah jenis methamphetamine atau amphetamine.
Kerajaan Cadang Pinda Akta 333, Ketatkan Hukuman Ke Atas Pemandu Positif Dadah
Sehubungan itu, kerajaan bercadang untuk meminda Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengenakan tindakan tegas terhadap pemandu yang didapati positif dadah walaupun mereka tidak menyebabkan kemalanagan.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, cadangan pindaan itu dibuat kerana kesalahan pemandu di bawah pengaruh dadah sama seperti kesalahan pemandu yang menggunakan alkohol yang berlebihan.
“Undang-undang sedia ada ini belum cukup tegas terhadap pemandu yang mengambil dadah kerana kita hanya boleh mendakwa mereka sekiranya dia mengakibatkan kemalangan jalan raya.
“Kalau seseorang pemandu itu dikesan jadi penagih dadah tetapi tidak atau belum ada kemalangan, dia tidak boleh didakwa hanya boleh digantung lesen sahaja.
“Ini perkara yang saya rasa kita perlu kaji balik, sebab kita tidak mahu tunggu sampai kemalangan berlaku baru ambil tindakan terhadap pemandu tersebut dan mereka ini perlu disenarai hitam daripada sistem kita termasuk jalan raya,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Pindaan Akta Akan Diusulkan Ke Persidangan Ketiga Dewan Rakyat
Jelas Anthony, usul cadangan pindaan ini akan dibawa ke Persidangan Ketiga Dewan Rakyat pada Oktober depan selaras dengan perbincangan lanjut bersama pihak kementerian dan jabatan lain.
“Seksyen ini masih terdapat kelompongan yang khususnya tindakan terhadap pemandu yang positif dadah yang hanya memperuntukkan maksimum denda RM10,000 dan penjara dua tahun terhadap pemandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan,” katanya.
Setakat ini, Akta Pengangkutan Jalan 1957 tidak mempunyai elemen hukuman yang keras terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah.
Mohon Syarikat Buat Saringan Berkala Terhadap Pemandu
Pada masa yang sama, Anthony turut menasihatkan agar syarikat pengendali membuat saringan berkala terhadap pemandu mereka sekurang-kurangnya tiga bulan sekali.
“Ini bagi mencegah pemandu yang berisiko mengambil kenderaan mereka kerana kita tidak boleh memeriksa 100% setiap kenderaan dan pemandu tetapi operasi ini sudah tentu akan diteruskan,” jelasnya lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Treler Seret Ibu Baru Pulang Dari Hantar Anak Sekolah Ditahan, Disahkan Positif Dadah
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Lori Hilang Kawalan Rempuh 5 Kenderaan di Sentul Disahkan Positif Dadah [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Pemandu Treler Langgar Jejambat SUKE Runtuh Positif Dadah