Budak 12 Tahun Tular Pandu Kereta Perodua Viva Mengaku Tidak Bersalah
Kanak-kanak itu dituduh mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kereta jenis Perodua Viva pada 28 Julai lalu sewaktu berumur 12 tahun tiga bulan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada minggu lalu, tular di media sosial video seorang kanak-kanak memandu kereta jenis Perodua Viva di Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor.
Perbuatan kanak-kanak yang berusia 12 tahun itu berjaya dirakam oleh seorang wanita yang dipercayai penduduk setempat.
Ketika dirakam, kanak-kanak itu sedang memandu dengan laju dan membawa dua orang adiknya. Malah sewaktu ditahan oleh pemilik video, kanak-kanak itu mendakwa dia berumur 14 tahun.
Susulan video tular itu, polis telah pun memanggil bapa kanak-kanak berkenaan dan lelaki yang berusia 53 tahun itu telah pun hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada 29 Julai lalu.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Kanak-kanak 12 Tahun Pandu Kereta Siap Bawa Adik, Polis Ambil Keterangan Bapa
Kanak-Kanak Mengaku Tidak Bersalah
Terbaharu, kanak-kanak lelaki yang tular kerana memandu kereta Perodua Viva itu didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada hari ini (7 Ogos).
Walau bagaimanapun, dia selaku Orang Kena Saman (OKS) dan masih bawah umur mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Dituduh Mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Dalam prosiding yang diadakan secara tertutup itu, kanak-kanak tersebut dituduh mengikut Seksyen 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kereta jenis Perodua Viva pada 28 Julai lalu sewaktu berumur 12 tahun tiga (3) bulan.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Bapa Didakwa Atas Dua Pertuduhan
Dalam pada itu, bapa kanak-kanak berkenaan yang merupakan warga Pakistan dan pemegang kad Pemastautin Tetap (MyPR) turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kerana membenarkan anak lelakinya memandu kereta.
Mengikut pertuduhan, tertuduh selaku OKS dan pemilik kereta didapati membenarkan anaknya memandu kereta di atas jalan di tempat dan waktu yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut 39(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan hukuman yang sama.
Selain itu, bapa kanak-kanak yang juga penjual karpet turut dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) kerana mengabaikan dan bertindak secara cuai yang mungkin mendedahkan anaknya kepada kecederaan fizikal dengan gagal mengawasi kanak-kanak itu hingga memandu kenderaan.
Kesalahan itu dilakukan pada 28 Julai di sebuah taman perumahan yang terletak Taman Putra Impiana, Puchong pada jam 7.30 petang
Baca Artikel Berkaitan: Kes Budak 12 Tahun Pandu Kereta, Bapa Didakwa Cuai Kerana Dedahkan Anak Kepada Kecederaan
Kedua-Duanya Dibenarkan Ikat Jamin
Mahkamah kemudiannya membenarkan kanak-kanak diikat jamin sebanyak RM500 manakala bapanya sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
Sebutan kes juga turut ditetapkan pada 4 September depan. Kedua-dua mereka diwakili peguam Nabilla Rosli dari Tetuan Nadia Nabilla Rosli & Syaakirah dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi
Baca Artikel Berkaitan: