Sekumpulan Penunggang Motosikal Lawan Arus Elak Roadblock Di Pulau Pinang [Video]
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, kejadian terbabit dipercayai berlaku di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam pada Ahad lalu (4 Ogos).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami!
Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial dua video yang memaparkan sekumpulan penunggang motosikal menunggang secara melawan arus di sebuah lebuh raya.
Dalam video terbabit, kelihatan penunggang-penunggang motosikal jenis kapcai berkenaan memenuhi lorong kanan dan kiri lebuhraya itu sekali gus mengundang bahaya.
Foto: TikTok/muhammad74_7
Video itu kemudiannya mendapat perhatian ramai di mana kebanyakan pengguna media sosial mengecam tindakan penungang-penungang berkenaan.
Lawan arus sebab nak lari daripada roadblock di Pulau Pinang
Difahamkan, kejadian terbabit berlaku di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di Bagan Ajam, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, tindakan berbahaya yang dilakukan oleh penunggang-penunggang itu dipercayai kerana ingin mengelak diperiksa polis yang mengadakan Op Samseng Jalanan.
Menurutnya, pihak polis yang terkesan dengan penularan video berkenaan mendapati kejadian itu berlaku pada Ahad lalu (4 Ogos).
“Penunggang motosikal didapati menunggang secara bahaya dengan melawan arus di kawasan BORR dari arah Plaza Tol Bagan Ajam ke Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).
“Ia adalah bagi mengelak mereka ditahan polis yang mengadakan operasi membanteras kegiatan samseng jalanan pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (7 Ogos) dipetik Harian Metro.
Polis tahan seorang penunggang dan sita 25 motosikal
Menurutnya lagi, dalam operasi berkenaan, polis menahan seorang penunggang motosikal mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta menyita 25 motosikal atas pelbagai kesalahan.
“Kita mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya tidak bertindak di luar jangkaan yang akan mengundang bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” katanya.