Sebelum ini, tular satu video memaparkan tindakan sepasang pengantin yang bertindak menceroboh landasan kereta api di Guillemard Bridge untuk bergambar.
Apa yang lebih menjadi perhatian, pasangan itu dilihat berjalan santai dan pada kadar yang perlahan meskipun kereta api telah membunyikan hon panjang.
Perkara itu secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai dan meminta agar pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.
Baca artikel berkaitan: Pengantin Nyaris Dilanggar Kereta Api Ketika Bergambar Di Guillemard Bridge [Video]
KTMB tak akan berkompromi dengan individu ceroboh landasan kereta api
Terbaharu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan pihaknya tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu yang menceroboh landasan kereta api dan tindakan itu boleh dikenakan denda sebanyak RM500.
Jelas Ketua Pegawai Operasi KTMB, Mohd Zain Mat Taha mengikut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kesemua kawasan landasan merupakan kawasan larangan serta boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 126 akta tersebut.
Perbuatan bergambar di landasan adalah bahaya dan dikira menceroboh
Kata Mohd Zain, orang ramai diminta untuk tidak menceroboh kawasan berkenaan termasuklah mengambil gambar di mana-mana landasan kereta api. Ini kerana, perbuatan tersebut adalah bahaya dan dikira menceroboh.
“KTMB tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati melanggar peraturan ini.
“Kami menyeru orang ramai untuk sentiasa mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Keselamatan adalah keutamaan KTMB dan kami berharap agar penceroboh landasan kereta api tidak berulang lagi di masa hadapan,” ujarnya, dipetik Bernama.