“Kita Mahu Bomoh Terlibat Kes Zulfarhan Dibawa Ke Mahkamah” – Dr Maza [Video]
Mufti Perlis itu turut meminta agar kerajaan mengawal penggunaan nama perubatan Islam demi menjaga ketulenan agama itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainal Abidin atau lebih mesra disapa Dr Maza menegaskan bahawa kerajaan perlu memandang serius terhadap isu bomoh atau peramal di dalam negara ini.
Katanya, apa sahaja yang menunjukkan ciri-ciri seseorang itu seperti meramal atau memberitahu tentang perkara ghaib selain terdapat laporan mengenainya perlulah diambil tindakan.
Dr Maza menerusi satu sesi ‘podcast’ di saluran YouTube miliknya berkata demikian semasa mengulas mengenai isu bomoh yang terlibat dalam kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada 2017.
Bomoh terlibat kes Zulfarhan mesti dibawa ke muka pengadilan
Menurutnya, beliau mahu bomoh yang menyebut nama Zulfarhan seolah dia yang mencuri laptop salah seorang pesalah yang juga bekas penuntut di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu dibawa ke muka pengadilan.
“Mungkin ini hanya satu kes dan dia (bomoh) juga ada kes-kes orang lain lagi seperti meramal pasangan suami isteri, adik-beradik dan sebagainya, mungkin tak sampai tahap membunuh, tapi sampai bercerai-berai atau pergaduhan kaum keluarga dan ini mesti diambil tindakan,” katanya.
Kerajaan perlu kawal penggunaan nama perubatan Islam
Menurutnya, kerajaan juga perlu mengawal penggunaan nama perubatan Islam demi menjaga ketulenan agama itu kerana masih ada sesetengah individu yang menggunakan agama demi kepentingan dirinya.
“Sekarang ini, (ramai) guna nama agama, pakai serban, pakai cincin besar, ikut swafoto dengan ustaz terus boleh buat apa-apa yang dia nak buat,” katanya lagi.
Jelas Dr Maza, selain kerajaan, masyarakat di negara ini juga perlu bangkit menentang isu perkara terbabit secara besar-besaran.
6 penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati
Terdahulu, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 23 Julai lalu telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas penuntut UPNM kerana didapati bersalah membunuh Zulfarhan.
Hukuman terbabit diputuskan selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, secara sebulat suara membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula pertuduhan asal bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mengikut kronologi kes, Zulfarhan telah dituduh mencuri sebuah laptop selepas bomoh berkenaan menyebut namanya sebelum dia dibuli serta dipukul sehingga meninggal dunia.
Difahamkan, bomoh terbabit juga merupakan bapa kepada salah seorang OKT (Orang Kena Tuduh) yang menyebabkan kematian Zulfarhan pada tujuh tahun lalu.
Baca Artikel Berkaitan: Akui Geram, Ibu Zulfarhan Harap Bomoh Bertaubat & Mohon Maaf [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Kes Bunuh Zulfarhan, 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung