fbpx
Now Reading
Kumpulan Pelaksana Penjawat Awam Dijangka Terima Kadar Kenaikan Gaji Tertinggi

Kumpulan Pelaksana Penjawat Awam Dijangka Terima Kadar Kenaikan Gaji Tertinggi

Menurut Fahmi Fadzil yang juga merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, perkara itu diumumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri semalam (7 Ogos).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kadar kenaikan gaji melebihi 13% bermula 1 Disember 2024.

Menurut Anwar, sudah terlalu lama tiada penyelarasan gaji dibuat dan langkah ini bertepatan dengan bebanan kerja serta keadaan ekonomi semasa.

Kali terakhir kadar baharu gaji penjawat awam diselaraskan adalah pada tahun 2013 sekitar 13% dan penyelarasan kali ini disifatkan sebagai kadar yang tertinggi dalam sejarah negara.

Kumpulan Pelaksana Dijangka Jadi Penerima Kenaikan Gaji Tertinggi

Terbaharu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengumumkan kumpulan pelaksana bakal menikmati kadar kenaikan gaji baharu sehingga 42.7% menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menurut Fahmi yang juga merupakan Jurucakap Kerajaan Perpaduan, perkara itu diumumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Anwar semalam (7 Ogos).

Jelasnya, setiap penjawat awam akan mendapat gambaran umum mengenai kenaikan gaji mereka bermula minggu hadapan dengan kadar kenaikan yang dijangka sekitar 15 hingga 42.7%.

“Peningkatan ini bagi kumpulan pelaksana paling tinggi, manakala bagi kumpulan seperti KSU (Ketua Setiausaha), Ketua Pengarah, peningkatannya lebih sederhana,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Kenaikan Gaji Ada Implikasi Kewangan

Tambah Fahmi, Jemaah Menteri turut diingatkan terdapat beberapa perkara melibatkan implikasi kewangan susulan daripada kenaikan gaji penjawat awam ini.

Perkara itu bukan sahaja akan dibawa dalam Jemaah Menteri namun akan turut dibentangkan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober nanti.

“Jadi untuk perincian terutama dari aspek jumlah yang perlu diperuntuk bagi kenaikan gaji, perincian akan boleh dilihat dalam dokumen Belanjawan 2025.

“Ini adalah usaha Kerajaan Madani untuk memastikan supaya penjawat awam dapat menikmati kenaikan gaji,” ujarnya.

Kerajaan Sedang Giat Jalankan Program Dasar Gaji Progresif

Dalam pada itu, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang giat meneruskan usaha pendaftaran buat syarikat swasta yang mahu menyertai program dasar gaji progresif.

Jelas Fahmi, mana-mana syarikat swasta yang belum berdaftar dan mahu berbuat demikian, boleh terus menghubungi Kesuma.

“Jadi kita melihat usaha kerajaan Madani adalah untuk bukan hanya meningkatkan pendapatan gaji bagi penjawat awam, tetapi juga membantu sektor swasta melihat atau meningkatkan pendapatan dan gaji pekerja swasta,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd. Shaiful Ibrahim memaklumkan penjawat awam boleh menyemak kadar gaji baharu bermula minggu depan melalui SSPA.

Jelasnya, perincian mengenai mekanisme itu akan diumumkan sendiri oleh Anwar pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang akan diadakan pada 16 Ogos ini.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.