Polis Cekup 4 Suspek Cuba Samun Kenderaan Di Lebuhraya KESAS
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan beberapa barangan turut dirampas antaranya sebuah kereta Nissan Almera, motosikal jenis L135 dan enam buah telefon bimbit
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (7 Ogos), tular satu video di media sosial memaparkan sebuah kenderaan berhampiran stesen minyak di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) yang hampir menjadi mangsa samun.
Menerusi video yang dimuat naik di X, ketika kenderaan pengadu sedang berjalan secara tiba-tiba sebuah kenderaan berwarna hitam yang berhenti di bahu jalan sebelum muncul sebuah motosikal dan berhenti di hadapannya.
Penunggang motosikal itu kemudiannya datang ke arah kenderaan mangsa sambil membawa satu objek yang dipercayai kayu. Susulan kejadian itu, pengadu yang juga seorang lelaki kemudiannya membuat laporan polis.
Baca artikel berkaitan: Wanita & Keluarga Hampir Jadi Mangsa Samun Berhampiran Stesen Minyak Di Lebuhraya KESAS [Video]
4 suspek disyaki terlibat cubaan samun di KESAS ditahan polis
Walau bagaimanapun kurang daripada 24 jam kejadian berlaku, polis telah menahan sekumpulan penjenayah yang disyaki terlibat dalam kes tersebut.
Suspek ditahan dalam serbuan berasingan yang dilakukan semalam (7 Ogos).
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada jam sekitar 5.30 petang, 7 Ogos sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Subang Jaya telah berjaya menahan dan menangkap seramai empat suspek warga tempatan.
Kesemua yang ditahan ada rekod jenayah lampau, beberapa barangan turut dirampas
Katanya lagi suspek yang ditahan berusia sekitar 30 hingga 41 tahun itu ditahan sekitar Klang dan Shah Alam. Kesemua yang ditahan juga didapati mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes jenayah dan narkotik (dadah).
“Turut dirampas semasa tangkapan dibuat sebuah kereta jenis Nissan Almera dan sebuah motosikal LC135 dan enam buah telefon bimbit.
“Kesemua suspek akan direman hari ini (8 Ogos) di Mahkamah Shah Alam bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Ekoran daripada kejadian yang berlaku satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Jika sabit dengan kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun dan dikenakan denda.
Polis dalam masa sama berterima kasih kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat sehingga penjenayah berjaya ditahan.