Remaja 14 Tahun Menyamar Jadi Staf Petugas Kesihatan Di Hospital Serdang
Remaja berusia 14 tahun itu dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis kerana disyaki menyamar bertugas di hospital terbabit.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui, individu yang belum mencapai usia 18 tahun dan ke atas tidak dibenarkan untuk bekerja dalam bidang tertentu.
Malah mana-mana majikan yang melakukan tindakan tersebut boleh dikenakan tindakan kerana melanggar undang-undang buruh.
Polis & KKM jalankan siasatan selepas terdapat dakwaan remaja 14 tahun bekerja di hospital Serdang
Namun baru-baru ini, terdapat dakwaan mengatakan ada remaja berusia 14 tahun yang menyamar menjadi kakitangan di sebuah hospital di Serdang, Kajang.
Susulan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyiasat dakwaan terbabit. Remaja terbabit dilaporkan telah ‘bertugas’ di hospital awam berkenaan selama seminggu.
Polis nafi remaja menyamar menjadi doktor
Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisoner Wan Kamarul Azran Wan Yusof siasatan dilakukan selepas menerima laporan yang dibuat di Balai Datuk Abu Bakar Baginda, Kajang.
Memetik laporan Harian Metro, remaja yang disyaki menyamar itu sudah pun diberkas oleh polis.
Menurut Wan Kamarul, remaja itu telah ditahan di Balai Polis Datuk Abdul Razak Baginda. Beliau bagaimanapun menafikan remaja itu menyamar sebagai pegawai perubatan di hospital berkenaan.
“Kami ada terima laporan, kejadian baru lagi dan suspek menyamar sebagai staf hospital bukan sebagai doktor,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang informasi berkaitan identiti atau motif suspek melakukan hal terbabit.
Tiada kenyataan rasmi akan dikeluarkan kerana isu masih dalam siasatan
Memetik laporan MalaysiaKini seorang pegawai KKM memaklumkan kepada akhbar itu pihaknya tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung hal tersebut memandangkan ia kini dalam siasatan.
“Dan KKM tidak mahu mengganggu proses yang masih berjalan,” ujarnya, lapor MalaysiaKini.