MITI Tak Pernah Umum Tesla Mahu Buka Kilang Di Malaysia – Tengku Zafrul
Menurut Tengku Zafrul, sememangnya ada perbincangan dibuat dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan namun Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilangnya di Malaysia.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, media di luar negara ada melaporkan berhubung syarikat kereta elektrik (EV) terkenal, Tesla Inc membatalkan hasratnya untuk membuka kilang keretanya di seluruh Asia Tenggara termasuklah Thailand dan Malaysia.
Malah syarikat terbabit hanya ingin memberi tumpuan untuk mengukuhkan ekosistem stesen pengecasan.
Susulan daripada laporan itu, Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar meminta penjelasan daripada pihak kerajaan.
Baca artikel berkaitan: Tesla Batal Hasrat Buka Kilang Kereta EV Di Asia Tenggara, Termasuk Malaysia – Media Antarabangsa
Tesla tak pernah buat komitmen nak buka kilang di Malaysia
Terbaharu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah tampil menerusi laman X menjelaskan Tesla tidak pernah membuat sebarang komitmen untuk membuka kilangnya di Malaysia.
Ujarnya laporan mengenai Tesla membatalkan hasrat untuk membuka kilang itu bukanlah kenyataan rasmi daripada syarikat terbabit.
“Pertamanya laporan tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang tidak dikenali ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.
“Kedua MITI juga tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” ujarnya dalam hantaran itu.
Usaha untuk kukuhkan ekosistem EV, kerajaan perkenalkan Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri
Selain itu, beliau turut menjawab adakah ia satu kerugian kepada kerajaan kerana memberikan keistimewaan terhadap jenama kereta tersebut?
Katanya, ia tidak benar sebaliknya ia merupakan usaha mengukuhkan ekosistem EV, kerajaaan telah memperkenalkan Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri yang terbuka untuk mana-mana pembuat kenderaan EV dengan syarat tertentu seperti:
- Perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit Ultra Fast Charger dengan kapasiti melebihi 180kWh.
- Pastikan sekurang-kurangnya 30% daripada Ultra Fast Charger yang sudah dibangunkan di Malaysia dibuka untuk kegunaan awam untuk jenama kenderaan selain daripada jenama milik syarikat terbabit.
- Bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam membangunkan ekosistem industri perkhidmatan pengecasan EV termasuk menggunakan kontraktor tempatan yang membuat pemasangan pengecas EV, pembekal peralatan seperti transformer kabel dan lain-lain lagi.
Tingkatkan rangkaian pengecas untuk digunakan oleh kenderaan EV
Jelas beliau lagi, tujuan inisiatif itu dilakukan adalah bagi meningkatkan rangkaian pengecas untuk digunakan oleh pemilik kenderaan EV tempatan serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pengecasan EV.
“Melalui program yang serupa, negara seperti China, Hong Kong, dan Norway telah mempercepatkan peralihan kepada kenderaan elektrik. Apabila ini berlaku, banyak PKS tempat mendapat manfaat daripada penyertaan dalam ekosistem EV.
“Setakat ini, hanya Tesla yang telah memohon dan diluluskan penyertaannya dalam inisiatif Global BEX ini tetapi kita mengalu-alukan penyertaan pembuat EV lain.
“Jadi, bila kata Tesla dapat layanan istimewa, tak betul tu. Mana-mana syarikat pun boleh memohon untuk inisiatif ini. Sekali lagi saya ulang, MITI atau mana-mana agensinya tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, MITI akan terus berusaha dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi ke negara ini dan strategi untuk menarik pelaburan dalam industri automotif tidak terhad kepada syarikat jenama kereta EV itu sahaja.
MITI dah tarik banyak pelaburan dalam aktiviti pembuatan berkaitan EV dari beberapa syarikat
Jelasnya ini kerana, dari tahun 2022 sehinggalah ke suku pertama 2024, MITI telah menarik pelaburan bernilai RM24.55 bilion dalam aktiviti pembuatan berkaitan EV daripada beberapa syarikat antaranya:
- Chery
- Gemilang Coachwork
- Samsung SDI Energy
- Nexv Manufacturing
- Eve Energy
“Pengeluaran tempatan kita turut menyokong rantaian bekalan global Tesla dengan membekalkan alat ganti, komponen dan sistem automasi kilang kepada mereka.
“Selain pelaburan dalam sektor automotif, kerajaan juga menarik pelaburan dalam pelbagai sektor lain. Bagi suku pertama 2024 sahaja, pelaburan diluluskan adalah RM83.7 bilion- naik 13% berbanding tahun lepas.
“Insya-Allah MITI akan terus berusaha untuk menarik pelaburan berkualiti bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk rakyat Malaysia.”
Tanya Tesla.
— Tengku Zafrul 🇲🇾 (@tzafrul_aziz) August 8, 2024
Betul ke Tesla tak jadi bina kilangnya di Asia Tenggara?
Laporan ini diterbitkan oleh sebuah akhbar Thailand dan dipetik semula oleh akhbar negara kita.
Pertamanya, laporan tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous… pic.twitter.com/fzMn0k0bwg